BERSAMA MELINDUNGI KEPENTINGAN, BERSATU MENJUNJUNG KUASA AUTONOMI


SSK5

Salleh Said Keruak

SAYA tertarik dengan suara lantang Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pada Sabtu. Tegas dan jelas, tanpa berkias. Beliau berterus-terang tidak  membenarkan ekstremis kaum dan agama serta lain-lain pembuat kacau memasuki Sarawak.

Pendirian tersebut jelas mempamerkan cara dan stail kepemimpinannya yang tersendiri.

Secara peribadi, saya berkesempatan bertemu dengannya di Mukah baru-baru ini ketika penamaan calon PRK Balingian. Dalam `crowd’ yang begitu ramai, Saya menghulur tangan menyalaminya.

Di sebalik wajahnya yang kelihatan serius dan garang, Adenan sebenarnya cukup peramah, mudah mesra dan `humor’ dalam perbualan. Namun, beliau cukup tegas apabila bercakap mengenai hal-hal yang serius.

Sebab itu, apabila membaca laporan kenyataannya pada Sabtu, berkaitan kumpulan ekstremis masuk ke Sarawak, saya memahami maksud dan pendirian tegasnya itu.  Bahawa beliau tidak akan berkompromi terhadap perkara-perkara serius, apatah lagi yang boleh mengugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

Dalam nada yang serius, Adenan menegaskan, beliau bukan berlagak angkuh apabila menyatakan mahu menghalang ekstremis kaum dan agama serta lain-lain pembuat kacau daripada memasuki Sarawak.

“Saya bukan angkuh, tetapi sebagai Ketua Menteri tanggungjawab utama saya ialah melindungi keamanan dan keharmonian di negeri ini,” demikian kata Tan Sri  Adenan, sambil menyatakan beliau mempunyai senarai individu terbabit.

Bagi saya, apa yang dikatakannya itu pasti mendapat reaksi positif majoriti rakyat Sarawak yang cintakan keamanan.

Selain menepati kehendak dan aspirasi rakyat, ia sememangnya seiring kuasa autonomi yang termaktub dalam perjanjian ketika pembentukan Malaysia dahulu.

Bagi kita, ketegasan Kerajaan Sarawak menghalang kemasukan mana-mana ekstremis atau pelampau ke negeri itu ada justifikasinya memandangkan tahap perpaduan rakyat di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak begitu tinggi biarpun dalam keunikan dan kepelbagaian lebih 40 suku kaum dan sub-etnik yang ada.

Soal perpaduan dan keamanan adalah sama penting dengan usaha mengekalkan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Apabila terjalin hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, maka keamanan akan wujud dengan sendirinya, sekali gus membawa kepada pembangunan yang lebih rancak untuk manfaat rakyat.

Dalam konteks ini, saya sependapat dengan Tan Sri Adenan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa-kuasa autonomi tertentu yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia. Demikian juga hak hak serta keistimewaan kita dilindungi dalam Perlembagaan.



Comments
Loading...