DAP putar belit fakta tuntut turun tarif elektrik


DAP_flag2

(Bernama) – Menteri Muda Kemudahan Awam Sarawak Datuk Sylvester Entri Muran membidas DAP kerana memutar belit fakta sebagai asas dalam kempen mereka agar tarif elektrik diturunkan.

Katanya kempen DAP untuk mendapatkan 100,000 tandatangan yang dilancar pada 28 Januari lalu jelas bermotifkan politik kerana fakta yang dibentang tidak realistik.

Kempen DAP jika direalisasikan boleh menyebabkan kira-kira 4,000 pekerja Sarawak Energy Berhad kehilangan pekerjaan selain menggugat kemampuan kewangan syarikat untuk beroperasi dengan efisien, katanya dalam ucapan semasa melancarkan kempen balas terhadap tuntutan DAP itu, di sini hari ini.

Dalam kempen selama tiga bulan itu, DAP menuntut agar tarif elektrik di Sarawak diturunkan sebanyak 30 peratus.

Mengulas lanjut, Entri berkata pada kadar 29.8 sen sekilowatt sejam (kWj), tarif purata elektrik Sarawak adalah masih rendah berbanding tarif purata 34.5 sen/kWj di Sabah dan 38.5 sen/kWj di Semenanjung Malaysia.

“Strategi kerajaan negeri untuk melabur dalam projek hidroelektrik besar telah membantu melindungi Sarawak daripada tekanan kos bahan api yang mendorong kenaikan tarif elektrik di rantau ini,” katanya.

Sambil meminta rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang itu, Entri berkata kempen DAP hanya menampakkan keuntungan jangka masa pendek namun boleh menjejaskan usaha transformasi dan pembangunan kualiti hidup rakyat Sarawak untuk jangka masa panjang.



Comments
Loading...