Oh Nona ku, Wan Azizah
Empire Strikes Back
Saya tidak tahu akan ada pertukaran Menteri Besar – ungkapan Wan Azizah bila ditanya mengenai matlamat Kajang Move selepas Anwar Ibrahim menamakannya sebagai pengganti. Adakah ini bermaksud Wan Azizah benar boneka Anwar kerana dia sendiri tidak sedar mengenai rancangan-rancangan partinya sendiri? Adakah Selangor akan punya ‘Menteri Besar’ yang memberikan arahan serta membuat keputusan bagi rakyat dari sebalik tirai besi di Sungai Buloh?
Keputusan kemenangan PKR di Kajang memang sesuatu yang telah dijangkakan walau keputusan yang diperolehi tidak sehebat yang dicanangkan sebelum ini. Anwar dan jentera pilihan raya PKR di Kajang mempergunakan sepenuhnya sifat mudah kasihan dan simpati masyarakat sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan Wan Azizah. Namum umum sudah tahu bahawa Kajang adalah kawasan PKR dan BN juga tahu peluang bagi Chew Mei Fun adalah tipis lagi pula dengan keadaan rakyat yang masih terganggu dengan isu MH370.
Mungkin ada yang akan bertanya mengapa dengan waktu berkempen yang panjang (PKR telah memulakan kempen seawal Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar) majoriti yang diperolehi tidak seperti yang diimpikan Azmin dan pastinya PKR sendiri. Apatah lagi calon yang bertanding di Kajang adalah ‘ikon’ wanita cekal PKR sendiri iaitu Wan Azizah. Adakah kehebatan Wan Azizah tidak mampu menarik lebih banyak lagi undi?
Dengan sorak-sorai yang makin menyepi, soalan kini tertumpu kepada adakah Wan Azizah akan meneruskan ‘impian dan cita-cita’ suaminya untuk menjadi Menteri Besar Selangor mengikut pelan asal Kajang Move yang diilhamkan oleh pemikir terhebat PKR, Rafizi Ramli? Ini kerana jika Wan Azizah mahu meneruskan legasi serta perjuangan murni Anwar Ibrahim, maka jawatan itu haruslah digalas Wan Azizah sementara suaminya menyelesaikan ‘perjuangan peribadinya’.
Sekiranya Khalid Ibrahim tetap menjadi Menteri Besar dan Wan Azizah hanya menyertai pentadbiran Selangor sebagai ADUN, maka sia-sialah pelan hebat Rafizi ini. Jika hanya sebagai ADUN, lupakan sahajalah mimpi ke Putrajaya.
Wan Azizah diketahui sebagai orang yang berdiri di belakang Khalid terutamanya dalam perkara-perkara yang melibatkan Azmin Ali dan umum tahu Khalid adalah seorang Menteri Besar yang cemerlang perkhidmatannya. Untuk apa menggantikan seseorang yang elok berkhidmat dengan sesuatu yang masih belum teruji kebolehannya? Adakah rakyat Selangor akan dijadikan bahan uji kaji PKR bagi memastikan teori politik Anwar berkesan?