PRK Kajang dan “Cult Politics”
A Kadir Jasin
MUTAKHIR – PAKATAN Rakyat, melalui Parti Keadilan Rakyat, mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang apabila Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengalahkan calon Barisan Nasional dari MCA, Che Mei Fun.
Wan Azizah memperoleh 16,741 undi manakala Chew Mei Fun mendapat 11,366 undi, memberikan kelebihan undi sebanyak 5,379 kepada calon PKR.
Berbanding Pilihan Raya Umum 5 Mei 2013, pencapaian Dr Wan Azizah adalah lebih baik. Beliau memperoleh 59.57% undi popular berbanding 57.98% yang didapati oleh calon PKR ketika itu, Lee Chin Cheh.
Bagaimanapun, dengan ketiadaan calon-calon parti lain dan bebas, peratusan undi popular Chew adalah lebih baik berbanding PRU 2013. Chew memperoleh 40.42% undi popular berbanding calon PRU BN, Lee Ban Seng yang mendapat 37.77%. Undi popular PKR naik 1.59% dan BN 2.65%.
Bilangan keluar mengundi hanya 72% peratus berbanding 88.4% dalam PRU. Ini menunjukkan ada unsur protes di kalangan pemilih. Mereka mungkin berasa PRK itu tidak diperlukan dan kegagalan Anwar Ibrahim mewakili PKR mungkin menyebabkan yang lain tawar hati.
Kesimpulannya, PR, melalui PKR, masih kukuh di kawasan separa bandar itu dan sokongan pengundi Cina terhadap BN terus tidak menyerlah walaupun telah mengemukakan calon lebih terkenal dan berwibawa.
ORIGINAL POST
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri kawasan Kajang, macam juga pilihan raya lain di negara kita, masih mirip kepada hal-hal berkaitan peribadi.
Esok, Ahad 23 Mac pemilih Adun Kajang akan keluar mengundi. Berpandukan aliran semasa dan sejarah pengundian, Pakatan Rakyat melalui PKR akan mengekalkan kerusi itu.
Berbalik kepada kecenderungan yang semakin menular ke arah “cult politics,” adalah tidak memeranjatkan yang agenda, dasar dan peruntukan kewangan tidak dapat mengatasi isu watak dan peribadi.
Jadi tidak hairanlah kalau Anwar Ibrahim menjadi “cult figure” dalam PRK Kajang.
Kalau benar sekali pun laporan bahawa Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN, Muhyiddin Mohd Yassin, telah menggesa Puteri Umno supaya mengingatkan pengundi Kajang agar tidak terpengaruh dengan papan iklan yang memaparkan gambar calon PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sedang berdoa ia tidak akan memberi kesan besar kepada penyokong pembangkang.