PERKARA 20 ATAU PERJANJIAN MALAYSIA?
Salleh Said Keruak
SUSULAN catatan saya menyokong kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Seri Adenan Satem mengenai autonomi berkaitan kuasa imigresen, ramai pula bertanya semula soal Perkara 20, Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Negara kita.
Isu ini pernah menjadi polemik suatu ketika dulu. Baik menerusi media arus perdana, mahupun di alam siber. Soal relevannya. Soal prinsipnya. Dan sama ada ia masih menjadi sandaran dalam membuat keputusan atau tindakan pada hari ini.
Pendirian saya dalam hal ini tetap sama. Semua sama penting dan tidak diketepikan. Apa yang mencetuskan kontroversi sebelum ini adalah disebabkan perbezaan pandangan. Masing-masing melihat dari kanta berbeza, sudut berlainan dan mungkin dari sisi bertentangan. Mengikut perspektif masing-masing, sama ada dipengaruhi sentimen politik, kepentingan peribadi, ideologi mahupun jatidiri.
Sebagai orang Sabah, saya melihat perkara ini secara konsisten. Bukan atas semangat parokial, tapi secara rasional atas kepentingan nasional.
Pimpinan di peringkat Pusat termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memahami semangat autonomi ini, jika kita amati dan perhalusi pendekatan pentadbirannya. Gagasan 1Malaysia adalah manifestasi jelas. Pengiktirafan 16 September sebagai Hari Malaysia adalah satu lagi contoh cukup terang. Betapa kedudukan Sabah dan Sarawak itu tidak pernah diasimilasi.
Berbalik kepada Perkara 20, Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Malaysia, ia adalah fakta dan sejarah. Sememangnya termaktub dan tertulis dengan jelas, sama ada sebagai dokumen memorandum politik atau perjanjian. Ia menggariskan soal hak-hak rakyat Sabah sebelum, semasa dan selepas bergabung membentuk Malaysia.
Dalam konteks ini, kita harus membuka minda. Meluaskan pandangan, berfikir di luar kotak. Bahawa semua ini terbentuk atau dibentuk bagi memenuhi aspirasi gagasan.
Perkara 20 dan Perlembagaan Malaysia adalah dua ‘dokumen’ berasingan dan mempunyai matlamat serta justifikasi tersendiri. Perkara 20 merupakan satu dokumen/memorandum yang sah dan ditulis dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) Bab 2 Perenggan 14. Manakala Perkara 20 diwujudkan oleh pemimpin politik Sabah pada ketika itu sebagai mewakili aspirasi rakyat Sabah semasa proses pembentukan Malaysia.
Perkara 20 merupakan memorandum yang dibentangkan oleh pakatan lima parti politik utama Sabah kepada Inter-Governmental Committee (IGC) yang telah ditubuhkan untuk mengenal pasti dan merangka draf Perlembagaan baru, untuk Persekutuan Malaysia yang baru, dengan mengambil kira perlindungan dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak.
Memorandum 20 Perkara ini merupakan perlindungan perlembagaan yang paling minima yang pakatan parti-parti politik Sabah mahukan. Wakil-wakil Sarawak juga telah bentangkan Perkara 18 mereka untuk tujuan yang sama.
Jawatankuasa IGC sudah menggabungkan atau memasukkan perlindungan-perlindungan Perkara 20 dan 18 ini bila mereka membuat pindaan-pindaan relevan terhadap Perlembagaan Malaya ketika itu. Semua pindaan-pindaan perlembagaan ini boleh dilihat di dalam Bab 3 Laporan Jawatankuasa IGC ini.
Dari sisi undang-undang, Perkara 20 sebagai memorandum perkara-perkara minima untuk perlindungan khas Sabah di dalam Perlembagaan bukanlah dokumen undang-undang yang boleh mengikat atau berkuasa. Ianya cuma relevan untuk menjadi bahan rujukan apabila Mahkamah tidak boleh menafsirkan Perlembagaan Malaysia ataupun Perjanjian Malaysia secara tepat.
Artikel 8 dalam Perjanjian Malaysia teramat penting kerana ia mewajibkan Kerajaan Malaya, Sabah dan Sarawak untuk mengambil langkah-langkah perundangan ataupun eksekutif untuk merealisasikan pengesyoran Bab 3 Laporan IGC (Lampiran A dan B) sekiranya ia tidak dilindungi atau didapati dalam Perlembagaan Malaysia.
Oleh itu, sekiranya salah satu Perkara 20 tidak diambil kira oleh Jawatankuasa IGC dan tidak tertulis di dalam pengesyoran Bab 3 Laporan IGC, maka Perkara 20 tidak lagi relevan ke tahap itu. Hak-hak yang termaktub di dalam Perkara 20 bergantung kepada Laporan IGC yang menjadi sumber asas untuk Perjanjian Malaysia dan seterusnya Perlembagaan Malaysia.
Secara contoh, salah satu Perkara 20 yang tidak direkodkan ke dalam Laporan IGC merupakan Perkara No. 3 yang mengharuskan setiap pindaan terhadap Perlembagaan Sabah perlu mendapat persetujuan rakyat (melalui referendum). Namun ini tidak dilihat di dalam Laporan IGC. Maka dengan itu, Perkara 3 ini tidak lagi relevan untuk masa sekarang.
Kita seharusnya mengkaji Bab 3 dari Laporan IGC untuk mengenalpasti pengesyoran mana yang belum lagi dikuatkuasakan untuk melindungi hak dan kedudukan Sabah dalam Malaysia. Dan bukannya menguatkuasakan Perkara 20 kerana ia bukannya dokumen undang-undang yang relevan untuk masa kini.