Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengkritiknya
Zaid Ibrahim
Di negara lain, bekas pemimpin negara, sama ada Perdana Menteri atau Presiden, jarang sekali dikritik dan dihentam bertubi-tubi di dalam media tanpa henti seperti yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun Mahathir telah dipilih oleh pihak pembangkang sebagai objek utama sasaran kritikan mereka. Sedikit sebanyak ia berlaku kerana Tun sendiri, walaupun sudah bersara, cergas memberi pandangan dan komen tentang hal-hal semasa yang menyebabkan beliau sentiasa menjadi perhatian orang ramai. Ini menjadikan beliau ‘sasaran’ yang empuk untuk digunakaan oleh orang politik dalam membicarakan hal-hal politik semasa.
Pengkrtitk Tun, sama ada dari kalangan mereka yang ternama seperti Lim Kit Siang sampailah kepada penulis blog yang hanya mempunyai 10 orang pembaca, selalu mengambil pendekatan atau cara yang sama. Mereka sama sekali melupakan dan tidak mempedulikan langsung sumbangan jasa dan kebaikan Tun sebagai pemimpin negara selama 22 tahun. Yang kita dengar adalah leteran yang sama; bahawa Tun adalah seorang diktator, yang merosakkan badan kehakiman , yang menggunakan ISA seperti “Operasi Lalang” dalam tahun 1987, yang memecat dan memenjarakan Anwar Ibrahim, yang memulakan projek mega yang membazir seperti Proton dan Perwaja, dan banyak lagi dosa beliau. Pengkrtik terkini dalam Free Malaysia Today, Francis Ng, menulis seolah-olah Tunlah yang menyebabkan pertalian kaum dan agama di Malaysia kini runcing. Kelihatannya tidak ada apa yang baik yang Tun lakukan semasa menjadi PM. Semua rakyat benci kepadanya!
Sebagai seorang yang juga mengkritik Tun Dr Mahathir dalam hal-hal tertentu termasuk krisis badan kehakiman 25 tahun dahulu, saya ingin mengambil peluang hari ini merayu kepada rakyat Malaysia supaya mereka bersikap adil kepada Tun Dr Mahathir. Beliau tidak sunyi dari melakukan kesalahan semasa menjadi PM dulu tetapi jasanya kepada negara juga amat besar. Mengkritik rekod khidmat beliau biarlah ada batas dan berpandukan fakta. Mengkritik tidak sepatutnya ada “matlamat lain” seperti berniat untuk menanamkan rasa benci kepada Barisan Nasional / UMNO dengan menggunakan Tun Mahathir sebagai umpan dan tumpuan. Misalnya, jika kelemahan dasar Barisan Nasional menjadi isu, ia mestilah ditanggung oleh pemimpin BN sekarang. Mengapa Tun pula yang disalahkan? Kalau hubungan kaum dan agama di Malaysia tidak memuaskan, mengapa pula PM yang telah berhenti lebih 10 tahun lalu masih dipersalahkan?
Begitu juga pembaca Malaysiakini. Mereka suka menyalahkan Tun kerana katanya terlalu banyak kes rasuah di negara kita. Mengikut mereka rasuah telah menjadi epidemic. Jadi, mengapa pula Tun disalahkan sedangkan dia telah bersara? Rasuah pada masa ini mungkin kurang atau sama tahapnya dengan masa Tun dahulu tetapi persoalannya mengapa pula beliau mesti diheret dalam membahas isu yang beliau sudah tidak lagi bertanggungjawab.
Pembangunan negara Malaysia mustahil mencapai matlamat kejayaaan seperti yang kita capai hari ini tanpa asas dan tapak kukuh yang dibina oleh Tun. Kejayaan dan pertumbuhan ekonomi negara semasa pemeritahan beliau adalah luar biasa. Kejayaan kita hari ini adalah semata-mata kerana pemimpin lain seperti Tun Abdullah dan Dato Seri Najib meneruskan dasar ekonomi dan pembangunan pesat yang dimulakan oleh Tun dan pemimipin awal negara kita. Mustahil pencapaian per kapita RM 24,000 setahun dapat dinikmati jika kita bandingkan tahap kemiskinan pada tahun 1957. Malaysia sekarang ini menduduki tempat ke-12 dalam dunia sebagai sebuah ekonomi yang paling pesat membangun (fastest growing economy) dan menduduki tempat ke-11 sebagai destinasi yang menjadi pilihan rakyat asing untuk melanjutkan pelajaran mereka. Semua ini tidak akan berlaku secara spontan tanpa pemerintahan yang baik. Kalaulah tidak ada satupun yang baik yang dilakukan oleh Tun Mahathir, mungkin sekarang ini Malaysia masih merupakan sebuah negara miskin. Mengapakah realiti seperti ini diketepikan?