Rodziah umum tanding Ketua Wanita Pusat PKR


Rodziah Ismail

(Harakah Daily) – Timbalan Ketua Wanita Pusat PKR, Rodziah Ismail mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Wanita Pusat pada pemilihan parti 2014.

“Ia adalah di atas keyakinan bahawa Wanita PKR akan dipimpin untuk melaksanakan Agenda Reformasi dengan santunan, gerak kerja, perancangan dan pelaksanaan yang sudah sedia diperolehi model-modelnya dari pengalaman saya dalam barisan pimpinan PKR dan pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri Selangor,” ujarnya dalam saatu kenyataan.

Katanya, keyakinan dari anggota kepimpinan Wanita dan akar umbi juga menggesa agar adanya suatu perubahan dalam Sayap Wanita yang membolehkan kepimpinan baru menerajui Sayap Wanita PKR.

Menurutnya, pembaharuan itu diyakini akan memberikan kesegaran dalam pengolahan agenda masa depan Wanita PKR.

Exco Kerajaan Selangor itu menambah, ia merupakan suatu gesaan yang tidak boleh diketepikan dan saya tampil menyahutnya dengan segala iktikad dan semangat supaya segera dapat dikotakan kepimpinan yang dikehendaki oleh anggota wanita PKR: penerapan dan pengaktualan pembuatan keputusan secara kolektif, ketelusan dalam pengoperasian aktiviti wanita dan keakuran berlandaskan panduan dan perlembagaan parti.

“Gesaan dari akar umbi itu adalah amanah bagi saya, yang akan saya genggam erat dan memohon agar sering diperingatkan kepada saya secara jujur dan tulus,” katanya.

Beliau yakin wanita-wanita anggota parti yang berkebolehan wajar juga menawarkan diri mereka untuk bertanding bersama-sama dalam barisan kepimpinan wanita PKR.

Katanya, ia bertujuan agar barisan kepimpinan wanita PKR lebih mantap dalam usaha ke arah membentuk masyarakat dengan rasa kasih dan empati, bersulamkan amalan saling memberdaya dan melengkapi.

 



Comments
Loading...