Tiada pengundi hantu dalam PRK Kajang, kata pemantau
Mafrel juga mendakwa tidak menerima apa-apa laporan atau aduan mengenai pengundi hantu
(FMT) – Badan bebas pemantau pilihan raya(Mafrel) mendakwa pengundi Kajang berpuas hati dengan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya kecil 23 Mac lalu.
Mafrel juga mendakwa tidak menerima apa-apa laporan atau aduan mengenai pengundi hantu.
Setiausaha Mafrel Arphan Ahmad berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini berdasarkan laporan mengenai pilihan raya Kajang.
Mafrel mempunyai pengalaman luas dalam pemantauan pilihan raya di negara ini.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mengalahkan Naib Presiden MCA, DAtuk Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.
Arphan berkata, 11 sukarelawan Mafrel telah menjalankan tugas-tugas memerhati proses pembuangan undi pada 23 Mac dan mereka dibahagikan kepada tiga pasukan.
“Dalam pemerhatian Mafrel isu dakwat kekal tidak timbul kerana pengundi puas hati dengan dakwat yang digunakan.
“Insiden pengundi hantu juga tidak timbul, atau sekurang-kurangnya tiada apa-apa laporan atau aduan yang dapat dikesan atau diterima oleh pemerhati Mafrel.
“Pondok panas juga tidak kelihatan di kebanyakan pusat mengundi, sebaliknya parti-parti bertanding banyak menggunakan rumah-rumah kedai, warung, rumah-rumah kediaman dan payung pacak sebagai pusat-pusat operasi mereka.
“Petugas Mafrel bagaimanapun telah melaporkan satu insiden di mana pekerja parti telah ditahan oleh anggota PDRM kerana enggan menurunkan khemah yang didirikan sebagai pondok panas dalam kawasan larangan,” katanya.
Kelakuan penyokong
Arphan menambah, kelakuan penyokong-penyokong parti bolehlah dikatakan sebagai terkawal walau pun terdapat juga kata-kata kasar dan agak lucah yang dituturkan, serta perbuatan lucah yang dipamerkan.
Bagaimanapun, insiden-insiden tersebut tidaklah sebegitu hebat seperti mana yang pernah berlaku di pilihan-pilihan raya kecil atau pilihan raya umum sebelum ini.
Sebagai contoh, di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Batu 10 Cheras, pihak PDRM di atas nasihat petugas Mafrel telah memisahkan penyokong kedua parti yang bertanding dan ini telah melegakan dan meredakan suasana yang agak tegang sebelum itu.
Beliau berkata, jumlah pegawai keselamatan (PDRM) yang bertugas jelas kurang dari PRK-PRK yang lalu.
Begitu juga penampilan penempatan mereka tidak begitu kelihatan, mungkin kerana berdekatan dengan markas sedia ada seperti Markas Pasukan Gerakan Am di Cheras.
Namun katanya, kehadiran pasukan unit simpanan persekutuan (FRU) dan Light Strike Force (LSF) dalam jumlah yang besar boleh mencetuskan perasaan takut atau intimidasi kepada pengundi-pengundi.
“Ini berlaku di Pusat-pusat Mengundi di kawasan Sungai Chua yang majoritinya adalah pengundi Cina. Walau bagaimana pun sekiranya difikirkan perlu oleh pihak berkuasa untuk mengawal keselamatan maka mereka harus ditempatkan dengan jumlah yang bersesuaian tanpa mengganggu-gugat pengundi,” katanya lagi.
Arphan berkata, penyokong parti masih lagi menggunakan kanak-kanak untuk berkempen seperti di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Sekamat terdapat sekumpulan kanak-kanak yang menunggang basikal membawa bendera parti.
Juga ada laporan dari petugas Mafrel berkaitan dengan kanak-kanak tersebut bertanyakan di mana mereka harus pergi untuk mendapatkan bayaran `wang minyak’ yang dijanjikan.