Anwar atur skrip baru, kata Salleh


SSK5

Sandiwara yang ditayang ini cukup hebat

(FMT) – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak berkata selepas dua pilihan raya kecil (PRK), kini  Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatur skrip baru, untuk mengalih-pandang, dari rasa kecundang gagal menjadi calon di Kajang, dan rasa kecewa dengan sokongan dingin di Balingian.

Katanya, skrip barunya adalah untuk pemilihan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mei depan.

“Dia bertanding jawatan Presiden PKR, mencabar isterinya,  Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,” kata beliau dalam posting terbaharu blognya www.sskeruak.blogspot.com

Beliau yang jjuga Speaker Dewan Undangan negeri Sabah berkata sandiwara yang ditayang ini cukup hebat.

“Maha hebat daripada kisah Singapura dilanggar todak. Bagaimana mungkin sepasang suami isteri, yang tinggal sebumbung dan tidur sebilik, bersaing satu-lawan-satu di pentas politik, merebut satu jawatan, jawatan nombor Satu,” katanya.

Beliau berpendapat mungkin alasan Amwar, ia sebagai petanda demokrasi subur dalam parti, untuk mengaburi para ahlinya. Tapi niatnya tetap dilihat kabur.

“Membaca skrip baru Anwar ini, ada dua kebarangkalian jelas. Pertama, untuk mencapai cita-cita politik yang tinggi melayang-layang. Kedua, kerana ketakutan diburu bayang-bayang sendiri dari kerisauan PKR dikuasai orang lain,” jelas beliau.

Katanya lagi, pencalonan  Anwar dan Azizah untuk jawatan Presiden PKR jelas menunjukkan parti itu hakmilik mutlak Anwar.

“PKR adalah Anwar dan Anwar adalah PKR. Kerana dia menentukan segala-galanya, bukan Azizah. Azizah berada di tempatnya hanya pada nama saja, sementara penyokong-penyokong fanatik Anwar tetap akan mengikut telunjuknya serta menjulangnya sebagai pelakon hero pujaan,” ujarnya.

Salleh berpendapat sementara menunggu hari pemilihan, kemungkinan akan ada babak-babak baru drama yang ditayangkan.

“Tapi jelas, pertandingan ini hanya untuk mengaburi mata para ahli parti. Dan pada akhirnya, Azizah akan  kekal di situ kerana sesuatu yang tidak masuk akal bagi Anwar menentang isterinya sendiri,” katanya.

Beliau berkata sebagai seorang isteri yang setia, Azizah akan menjadi penyelamat kepada suaminya.

“Dia akan berkorban apa saja untuk Anwar kerana hanya dia yang maha mengetahui rahsia sebenar Anwar, di dalam gelap mahupun terang,” katanya lagi.

Beliau berpendapat bagi jawatan Timbalan Presiden, sudah tentulah orang itu yang mendapat `green light’ Anwar demi survival politiknya.

“Antara penyandang Azmin Ali dan MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sudah tentu pilihan `endorsement’ itu akan berpihak kepada Azmin yang banyak mengetahui rahsia Anwar,” ramal beliau.

Katanya, kemenangan Azmin sesuai dan selari dengan skrip yang ditulis Anwar, justeru Khalid pasti akan `dikalahkan’ dengan apa cara sekali pun kerana dia dikatakan sudah `berlagak dan tidak dengar cakap taukeh’.

“Bermakna, selepas Khalid tewas dalam persaingan Timbalan Presiden, maka skrip baru Anwar adalah untuk melucutkannya daripada kerusi MB dan menggantikannya dengan Azizah, sebagai platform `langkah Kajang’ menuju ke Putrajaya,” ramalnya lagi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...