CASSA ajak pengguna boikot restoran mamak, India


jacob george

(Malaysian Gazette) – Pengguna Malaysia diajak boikot restoran mamak dan India yang didakwa menaikkan harga makanan dan minuman sehingga 30 hingga 40 peratus.

Kenaikan harga itu dianggap melampau terutama membabitkan restoran-restoran yang beroperasi 24 jam sehari.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kenaikan itu dikesan hasil Tinjauan Intervensi CASSA (CSI) yang dilaksanakan sejak dua bulan lalu berikutan peningkatan aduan orang ramai.

Menurut beliau, harga bagi sepinggan nasi berlauk ikan dan dua jenis sayuran dan secawan air adalah RM13.50 atau set nasi beriyani di restoran mamak atau India kini memcecah RM18 atau RM24 sepinggan.

Nasi lemak dengan seekor sotong dikenakan caj sehingga RM13.

Harga bagi lauk ikan atau kambing dengan tiga jenis sayur untuk empat orang pula mencecah RM80.

Teh tarik pula RM2.00 manakala Nescafe pula RM3.80.

Harga bagi air kosong juga dicaj antara 50 sen hingga 70 sen secawan.

Jacob berkata, pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) jangan hendak menafikan perkara itu kerana dakwaan CASSA adalah hasil tinjauan yang dibuat oleh anggota CSI secara konsisten.

Bahkan dakwanya CASSA mempunyai laporan penuh mengenai kes-kes kenaikan harga makanan dan minuman itu.

Tambah beliau, hasil tinjauan itu turut mendapati harga air yang dikenakan tidak sama dengan harga yang diletakkan di papan-papan tanda dalam kedai berkenaan, selain saiz cawan atau gelas juga semakin kecil berbanding sebelum ini.

“Mengambil kira semua faktor itu, harga makanan dan minuman di restoran mamak dan India cukup melampau dengan caj yang dikenakan tanpa justifikasi.

“Pada pandangan CASSA caj yang dikenakan di restoran mamak atau India itu seperti merompak poket pengguna secara terbuka.

“Perkara ini adalah serius kerana pemilik-pemilik restoran berkenaan betul-betul mengambil kesempatan ketika harga barang naik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jacob tidak menolak caj yang tinggi dikenakan di restoran-restoran berkenaan terutama yang beroperasi 24 jam untuk memastikan margin keuntungan sentiasa tinggi memandangkan kos overhed tinggi.

“CSI mendapati restoran 24 jam biasanya hanya menjadi tumpuan sebelah malam manakala pada waktu pagi, tengah hari dan petang pelanggan tidak ramai.

“Jadi, untuk memastikan margin keuntungan stabil, pengusaha-pengusaha restoran mamak dan India tidak mempunyai pilihan lain, selain menaikkan harga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jacob menambah, 80 peratus restoran mamak dan India yang ditinjau juga didapati kotor dengan kebanyakan pekerja restoran berkenaan tidak memakai apron, tidak menggunakan peralatan sesuai untuk mengambil makanan dan tidak bercukur.

Tikus dan lipas juga antara haiwan kecil yang banyak ditemui di dapur-dapur restoran berkenaan.

“Ini menunjukkan mereka bukan sahaja tidak mengutamakan kualiti tetapi keselamatan makanan juga tidak dipedulikan oleh pengusaha restoran mamak.

“Justeru, saya mengajak semua pengguna boikot restoran mamak serta India dan CASSA perlukan sokongan dan kerjasama semua rakyat Malaysia supaya pengguna tidak terus ditipu,” ujar beliau.

 



Comments
Loading...