PEMILIHAN PKR: SATU LAGI DRAMA LAKONAN ANWAR
Salleh Said Keruak
SEKALI lagi pembangkang bermain wayang. Selepas dua PRK, kini Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatur skrip baru, untuk mengalih-pandang, dari rasa kecundang gagal menjadi calon di Kajang, dan rasa kecewa dengan sokongan dingin di Balingian.
Skrip barunya adalah untuk pemilihan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mei depan. Dia bertanding jawatan Presiden PKR, mencabar isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sandiwara yang ditayang-tayang ini cukup hebat. Maha hebat daripada kisah Singapura dilanggar todak. Bagaimana mungkin sepasang suami isteri, yang tinggal sebumbung dan tidur sebilik, bersaing satu-lawan-satu di pentas politik, merebut satu jawatan, jawatan Nombor Satu.
Mungkin alasan Amwar, ia sebagai petanda demokrasi subur dalam parti, untuk mengaburi para ahlinya. Tapi niatnya tetap dilihat kabur.
Membaca skrip baru Anwar ini, ada dua kebarangkalian jelas. Pertama, untuk mencapai cita-cita politik yang tinggi melayang-layang. Kedua, kerana ketakutan diburu bayang-bayang sendiri dari kerisauan PKR dikuasai orang lain.
Pencalonan Anwar dan Azizah untuk jawatan Presiden PKR jelas menunjukkan parti itu hakmilik mutlak Anwar. PKR adalah Anwar dan Anwar adalah PKR. Kerana dia menentukan segala-galanya, bukan Azizah. Azizah berada di tempatnya hanya pada nama saja, sementara penyokong-penyokong fanatik Anwar tetap akan mengikut telunjuknya serta menjulangnya sebagai pelakon hero pujaan.
Sementara menunggu hari pemilihan, kemungkinan akan ada babak-babak baru drama yang ditayangkan. Tapi jelas, pertandingan ini hanya untuk mengaburi mata para ahli parti. Dan pada akhirnya, Azizah akan kekal di situ kerana sesuatu yang tidak masuk akal bagi Anwar menentang isterinya sendiri.
Sebagai seorang isteri yang setia, Azizah akan menjadi penyelamat kepada suaminya. Dia akan berkorban apa saja untuk Anwar kerana hanya dia yang maha mengetahui rahsia sebenar Anwar, di dalam gelap mahupun terang.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, sudah tentulah orang itu yang mendapat `green light’ Anwar demi survival politiknya. Antara penyandang Azmin Ali dan MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sudah tentu pilihan `endorsement’ itu akan berpihak kepada Azmin yang banyak mengetahui rahsia Anwar.
Kemenangan Azmin sesuai dan selari dengan skrip yang ditulis Anwar, justeru Khalid pasti akan `dikalahkan’ dengan apa cara sekali pun kerana dia dikatakan sudah `berlagak dan tidak dengar cakap taukeh’.
Bermakna, selepas Khalid tewas dalam persaingan Timbalan Presiden, maka skrip baru Anwar adalah untuk melucutkannya daripada kerusi MB dan menggantikannya dengan Azizah, sebagai platform `langkah Kajang’ menuju ke Putrajaya.
Sementara Azmin akan terus setia dan menjadi `pak turut’ kepada Anwar dengan harapan selepas Azizah, dia boleh merasai empuk kerusi MB Selangor, tanpa menyedari bahawa selepas Azizah itu sebenarnya Nurulizzah sedang mengekori rapat dan mengikut jejak, berdasarkan skrip yang ditulis oleh Anwar.