Hotel milik kerajaan Selangor pecat staf


Quality Hotel

(BH) – Lebih 100 kakitangan sebuah hotel milik anak syarikat kerajaan Selangor, akan hilang pekerjaan susulan keputusan pihak pengurusan memberhentikan operasi hotel itu, berkuat kuasa 1 Jun depan.

Berdasarkan notis pemberhentian kerja bertarikh 31 Mac lalu yang diperoleh BH semalam, Hotel Quality Shah Alam akan ditutup selepas menghadapi tekanan untuk beroperasi dengan kawalan kos dan gagal menjana keuntungan sejak beberapa tahun walaupun dibantu subsidi sewa yang kurang daripada harga pasaran.

Pampasan, gaji akhir

Notis ditandatangani Pemangku Pengurus Besarnya, Amar Maarof Abdullah, turut menyatakan cara pampasan yang akan dibayar kepada pekerja bersama gaji terakhir pada bulan Mei. Hotel milik Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) itu antara hotel terawal beroperasi di Shah Alam, iaitu sejak 26 tahun lalu.

Ketua Jabatan Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor, Amin Lin Abdullah, ketika dihubungi malam tadi, berkata pihak pengurusan akan membantu pekerja yang diberhentikan.

“Mereka bukan saja diberikan pampasan, tetapi juga bantuan seperti khidmat nasihat untuk mencari kerja baharu dan temu duga, kaunseling, penggunaan aset syarikat untuk menyiapkan surat permohonan kerja, testimoni serta peluang keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, perniagaan sektor perhotelan di Shah Alam yang tidak kondusif, menjejaskan prestasi kewangan Hotel Quality Shah Alam sejak beberapa tahun walaupun pihak pengurusannya cuba melaksanakan beberapa tindakan bagi mengurangkan kos, tetapi tetap tidak berkesan.

Kadar sewa baharu

“Dengan terlaksana perancangan untuk membangunkan semula Plaza Perangsang yang berusia 26 tahun dan mengenakan kadar sewa baharu mengikut pasaran, perniagaan hotel tidak lagi boleh berdaya maju dan akan terus mengalami kerugian lebih tinggi.

“Penutupan hotel adalah keputusan perniagaan yang dibuat oleh pengurusan dan Lembaga Pengarah Perangsang Selangor berdasarkan prestasi hotel yang tidak memberi pulangan,” katanya sambil menambah, syarikat itu tidak berhasrat menjual bangunan Plaza Perangsang.

Katanya, ruang hotel berkenaan yang menggunakan tujuh daripada 27 tingkat di bangunan Plaza Perangsang, akan dibangunkan semula sebagai ruang pejabat.

Pada masa ini, Plaza Perangsang turut menempatkan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Selangor, pejabat korporat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Perangsang Selangor dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

 



Comments
Loading...