RoS digesa siapkan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pemilihan DAP


DAP-ROS

(Bernama) – Pendaftar Pertubuhan (RoS) digesa menyiapkan segera siasatan berhubung dakwaan penipuan dan penyelewengan dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti DAP yang telah mengambil masa hampir setahun.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Isahak berkata masa yang begitu panjang untuk menyiapkan proses siasatan itu seolah-olah menunjukkan RoS takut dengan parti pembangkang berkenaan.

“Pihak RoS perlu bertegas dalam isu tersebut supaya tidak dilihat seperti dipermain-mainkan oleh DAP,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada RoS di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi DAP cawangan Ladang Paroi, Seremban, A David Dass; bekas Ketua DAP Cawangan Bagan Luar, Butterworth G Asoghan dan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao.

“Kita mahu RoS mengumumkan hasil siasatan yang telah dibuat terhadap pemilihan CEC DAP yang telah mengambil masa hampir satu tahun selepas arahan pertama RoS dikeluarkan pada 17 April tahun lalu,” katanya.

RoS perlu memberi kata putus berhubung isu ini kerana DAP merupakan peneraju kerajaan negeri Pulau Pinang dengan menyandang 19 kerusi dan merupakan sebahagian pentadbir kerajaan negeri Selangor dengan memiliki sebanyak 15 kerusi jadi timbul persoalan mengenai status mereka ini,” katanya.

Rahmad yang juga bekas anggota DAP berkata pihaknya turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab terhadap RoS mengambil tindakan drastik dan segera untuk menyelesaikan isu itu.

Pada masa yang sama beliau turut mendesak RoS meminda Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang tidak memberikan hak kepada mahkamah untuk masuk campur dalam isu pemecatan seseorang anggota parti menyebabkan ada anggota parti dipecat keahliannya disebabkan tidak sehaluan dengan pemimpin.

 



Comments
Loading...