Kelantan kena segerakan hukum hudud


Abdullah-Zaik-Abdul-Rahman

Kerajaan pusat komited untuk memberi laluan dan sedia membantu

(FMT) – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata PAS tidak perlu berdalih dan menolak isu kepada Umno kerana pelaksanaan hudud adalah asal perjuangan PAS sejak dahulu lagi.

Menurut Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman, setelah tiada lagi halangan daripada kerajaan pusat, PAS sepatutnya bertitik tolak daripada keimanan dan keyakinan perjuangan mengambil langkah seterusnya.

“Saya namakan langkah ini sebagai “Langkah Kelantan”. Seperti “Langkah Kajang” ke Putrajaya, maka  “Langkah Kelantan” ke arah pelaksanaan syariat secara menyeluruh di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Kerajaan persekutuan seperti yang diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersedia untuk membantu Kelantan dalam melaksanakan hukum jenayah syariah (hudud) di negeri itu.

“Saya tidak pasti sama ada PAS masih memperjuangkan pelaksanaan hukum jenayah hudud di Malaysia jika parti itu berjaya ke Putrajaya tetapi difahamkan masih lagi menjadi cita-cita dan komitmen kerajaan PAS di Kelantan,” katanya.

Tambahnya, dengan pengakuan Jamil Khir tersebut bermakna kebimbangan kerajaan pusat akan menghalang kerajaan negeri melaksanakan hudud sudah tidak ada lagi.

Bahkan Jamil Khir menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk memberi laluan dan sedia membantu.

“Daripada sudut itu kerajaan negeri Kelantan seharusnya bersegera mengambil kesempatan untuk menjayakan cita-cita yang sudah lama tertangguh ini,” ujarnya.

Beliau berpendapat dalam konteks sistem pemerintahan seperti di Malaysia pelaksanaan hudud Allah secara menyeluruh bukanlah tanggungjawab sebuah kerajaan negeri.

“Ini kerana kerajaan negeri tidak memiliki kedaulatan sebuah negara seperti kerajaan pusat, kerana kedaulatan dan kuasa kerajaan negeri tertakluk di bawah kuasa kerajaan di peringkat pusat,” katanya.

Katanya, hudud lebih luas daripada sekadar pelaksanaan beberapa instrumen hukuman jenayah (hudud) semata-mata.

“Ia harus dilihat dalam kerangka mendaulatkan syariah secara keseluruhan iaitu pelaksanaan hudud Allah lebih luas merangkumi pelaksanaan syariat secara menyeluruh dalam setiap urusan pentadbiran, perundangan dan pembuatan polisi negara berdasarkan maqasid syarak,” ujarnya lagi.

“Jadi, adakah kerajaan negeri memiliki mandat yang kuat (kuasa politik) yang tidak boleh dicabar (oleh undang-undang lain) untuk melaksanakan pentadbiran keseluruhan berdasarkan siasah syariah?” soal beliau.

Jawapannya, tentulah tidak, katanya lagi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...