Sultan Selangor sambut baik MoU air
(Sinar Harian) – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyambut baik kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan Pusat dalam usaha mengambil alih empat syarikat air di Selangor dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) pada 26 Februari lalu.
Baginda menitahkan bahawa usaha berkenaan menguntungkan rakyat Selangor yang bukan sahaja akan terus mendapat air percuma 20 meter padu setiap bulan malah akan menikmati bekalan air berterusan dengan kadar tarif munasabah.
“Malah di bawah Memanda Beta Menteri Besar dengan kerjasama Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (Upen) telah mengadakan Projek Hybrid Off River Augmentation System (Horas 600), iaitu gabungan di antara Off River Storage (ORS) dengan Horizontal Collector Well, yang terletak di Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya Kuala Selangor yang merupakan projek perintis dilaksanakan di Malaysia,” titah baginda.
Projek Horas 600 ini adalah permulaan kepada pembangunan sumber air mentah dan berupaya mengeluarkan sebanyak 600 juta liter air mentah sehari.
Dengan yang demikian Horas akan mengurangkan risiko yang hanya bergantung kepada lepasan air empangan. Kaedah penakungan ini juga akan dapat mengelakkan pembaziran air.
“Projek bernilai RM405 juta ini akan dibiayai sebahagiannya hasil keuntungan penjualan pasir di tapak projek tersebut yang 60 peratus muka buminya diliputi pasir.
Selain itu, baginda Sultan turut menitahkan bahawa apabila selesai keseluruhan projek Horas ini, Selangor bakal menikmati bekalan air mentah sebanyak 3,000 hingga 5,000 juta liter sehari.
“Justeru, negeri beta bakal berdiri teguh kerana air merupakan isu sejagat lantas membuat persiapan bagi memastikan keperluan air terjamin sehingga lima hingga enam dekad akan datang. Ini merupakan satu wawasan berpandangan jauh yang wajar diraikan,” titahnya.
Sebelum mengakhiri ucapan baginda menzahirkan rasa terharu terhadap kehilangan MH370 yang dimaklumkan berakhir di Lautan Hindi.
“Walaupun pada masa sekarang usaha-usaha mencari pesawat tersebut masih dijalankan, beta turut merasa sedih dan simpati terhadap keluarga penumpang dan krew MH370 tersebut. Beta mendoakan supaya pencarian ini akan mendapat jawapan yang pasti dan memuaskan hati semua pihak, terutama kepada mereka yang sedang tertunggu-tunggu.
“Beta percaya pihak kerajaan Malaysia akan terus menjalankan usaha untuk mencari jawapan yang tepat kepada tragedi yang berlaku ini. Beta berharap mereka akan bersabar dan reda menghadapi dugaan dan ketentuan yang telah terjadi ini,” titah baginda.