Azmin Ali masuk UMNO jika kalah pemilihan PKR?
(Malaysian Gazette) – Seandai Azmin Ali gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), desas desus paling hangat mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu bakal keluar parti dan menyertai UMNO.
Betul atau tidak desas-desus yang tersebar, jika benarlah Azmin menyertai UMNO, ramai berpendapat PKR akan menjadi semakin lemah dan seterusnya menggegar kekuatan akar umbi pakatan pembangkang untuk manawan Putrajaya, sekaligus menjadi kerajaan.
Bukan kerana Azmin ada kekuatan dalam PKR tetapi parti itu sendiri yang akan kelihatan lemah dalam pentadbiran sehingga gagal menjaga hati dan perasaan Azmin yang merupakan antara ahli terawal penyertai PKR.
“Saya tak dengar pun berita itu. Bagi saya, itu hanyalah khabar angin yang datang hanya untuk menghangatkan suasana kempen dan tidak akan ada yang betul.
“Bagaimanapun, kalaulah betul apa yang didesas desuskan itu, saya rasa kekuatan pakatan pembangkang tidak akan luntur sedikit pun malah bertambah kuat lagi.
“Siapa pun boleh keluar masuk parti tetapi rakyat yang melihat boleh menilai siapa benar, siapa salah. Usaha pakatan pembangkang untuk menawan Putrajaya sekali gus menjadi kerajaan akan tetap berjalan tanpa halangan,” kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Rani Osman.
Jelas ADUN Meru itu, beberapa pimpinan Pas juga pernah keluar parti dan menyertai parti lain namun usaha dan perancangan tetap tidak terjejas.