PEMILIHAN PKR: SUAMI ISTERI PENENTU KALAH-MENANG
Salleh Said Keruak
BARU-BARU ini, sementara menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), saya terjumpa YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan YB Nurul Izzah.
Kami sempat bersembang-sembang dan bertanya khabar. Maklumlah, lama tidak berjumpa kerana sibuk dengan tugas masing-masing. Kami berbual dan bercerita pelbagai perkara, termasuk politik.
“Tan Sri kempen ka di Sabah?” saya bertanya kepada Menteri Besar Selangor itu.
“Ya, nak tanding jawatan Timbalan Presiden,” dia menjawab ringkas, merujuk kepada pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei ini
Berdasarkan penjelasan Khalid, terdapat lebih 90,000 ahli PKR akan mengundi di Sabah.
Nampaknya, Sabah juga jadi fokus mereka untuk mendapat undi. Saya mendengar saja dan saya mengucapkan selamat bertanding kepadanya.
Sememangnya, pemilihan kepimpinan dalam PKR yang diterajui Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Mei ini menarik untuk diikuti, apatah lagi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan menjadi `penulis skrip dan pengarah’ dalam menentukan perjalanan serta halatuju parti tersebut.
Anwar sudah pun menghantar borang pencalonan jawatan Presiden, mencabar isterinya, sekali gus menimbulkan banyak andaian dan spekulasi tentang motif dan agendanya.
Pemilihan PKR menjadi lebih dramatik apabila tiga calon jawatan tertinggi PKR membentuk sebuah kumpulan dalam menghadapi persaingan nanti.
Trio berkenaan iaitu Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution; Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Pengarah Strategik, Rafizi Ramli, sepakat membentuk gabungan bagi menghadapi pemilihan parti kali ini, sekali gus sebagai satu pakej alternatif.
Saifuddin merupakan salah seorang daripada enam calon Timbalan Presiden yang antaranya membabitkan Abdul Khalid, penyandang jawatan itu, Azmin Ali serta Naib Presiden, Tian Chua.
Nurul Izzah pula mempertahankan jawatannya, manakala Rafizi mencuba nasib untuk jawatan Naib Presiden.
Abdul Khalid dilaporkan dalam sebuah akhbarbaru-baru ini, bahawa beliau tidak menganggap tindakan trio itu membentuk sebuah kumpulan sebagai satu ancaman besar yang menyebabkan beliau tertekan.
Sebaliknya, beliau dengan yakin menyatakan kewujudan kumpulan itu tidak akan menjejaskan peluangnya untuk menduduki jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Saya tidak ada tekanan (akibat wujudnya kumpulan dalam pemilihan PKR). Ini merupakan satu pembaharuan dan galakan kepada saya untuk sertai PKR,” kata Khalid.
Azmin pula menyifatkan gabungan kumpulan itu sebagai hak demokrasi.