Pujian Sultan untuk kerajaan negeri bukan MB sahaja
(Malaysian Gazette) – Pujian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kejayaan kerajaan negeri bukan khusus kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seorang seperti ditafsirkan oleh sesetengah pihak.
Setiausaha Parti Keadilan Rakyat, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pujian baginda umum kepada kerajaan negeri meliputi keseluruhan jentera pentadbiran termasuk kakitangan awam.
“Kerajaan Selangor ditadbir dan diuruskan oleh Menteri Besar, anggota Exco, ADUN dan pegawai pentadbir. Jadi, pujian itu untuk semua mereka,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, pada Isnin, Sultan Selangor dalam titah baginda ketika merasmikan Sidang DUN Kali Ke-2 Selangor memuji usaha kerajaan negeri yang berjaya menerapkan konsep nilai untuk wang dalam pentadbirannya selama enam tahun berturut-turut.
Baginda bertitah, penerapan konsep itu memastikan perbelanjaan negeri dilakukan secara berintegriti dan berhemah membolehkan Selangor membentangkan belanjawan berimbang.
Melalui belanjawan sedemikian, kerajaan negeri juga tidak perlu meminjam daripada kerajaan Pusat untuk perbelanjaan mengurus.
Dalam pada itu, menurut Saifuddin, tanpa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan negeri sebagai wakil rakyat Langkah Kajang di Selangor bukan misi separuh jalan.
Menurutnya, tidak ada sebab misi berkenaan dihentikan kerana Anwar tetap pemimpin tertinggi parti yang boleh menyusun atur pentadbiran kerajaan Selangor.
Cuma katanya, hasrat untuk menggantikan Abdul Khalid dengan Anwar tidak berlaku memandangkan Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu tidak layak bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac lalu kerana bersalah atas pertuduhan kes liwat II oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya baru-baru ini.
“Pelan asal Langkah Kajang akan diteruskan. Tidak ada sebab dihentikan separuh jalan kerana agenda parti ialah memastikan pentadbiran kerajaan negeri berada dalam keadaan stabil dan tidak lagi berlaku pergolakan dalaman.
“Soal siapa pengganti tempat Abdul Khalid akan diputuskan seperti selesai segala urusan pemilihan parti awal Mei ini,” katanya enggan mengulas dakwaan yang mengaitkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar yang baru.
Kata Saifuddin, beliau tidak mahu mendengar desas desus daripada sumber luar kerana kedudukan parti itu yang stabil dari semua segi menyebabkan ramai iri hati dan dengki.
Beliau yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bulan depan melawan Azmin Ali dan Khalid berkata, Langkah Kajang tidak pernah terbantut sebaliknya akan mengukuhkan kedudukan parti dan pentadiran kerajaan negeri yang diperintah oleh PKR.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, PR berjaya memenangi tiga negeri iaitu Kelantan diperintah oleh Pas, Pulau Pinang oleh DAP dan Selangor oleh PKR.