ISU HUDUD PAS: SANDIWARA LAMA DITAYANG SEMULA
Salleh Said Keruak
SETELAH lama sepi, tiba-tiba isu hukuman hudud muncul semula. Saya terbaca dalam akhbar, Pas dikatakan serius mahu melaksanakannya di Kelantan. Hati saya berbisik dan tersenyum. Benarkah Pas serius? Mampukah ia melaksanakannya? Bagaimana dengan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Saya melihat cerita ini sebagai satu lagi sandiwara Pas? Sandiwara lama yang diulang tayang. Jalan ceritanya sama. Skripnya tidak berubah. Dan pastinya, penghujung cerita seperti dulu-dulu juga.
Bagi saya, isu ini sekadar lakonan semula dalam pakatan pembangkang. Nampak jelas, ada sekurang-kurangnya tiga tujuan tersirat. Pertama, untuk mengaburi mata rakyat. Kedua, untuk mengalihkan perhatian. Dan ketiga, untuk “refresh” semula perhatian rakyat kepada parti tersebut.
Saya tidak yakin, sandiwara ini akan berakhir dengan `happy ending’ seperti dalam filem-filem Bollywood. Kerana Pas tidak mungkin berjaya. Sebaliknya, Pas pada akhirnya akan terpaksa mengikut telunjuk rakan-rakan sekutu mereka.
Beranikah Pas membelakangkan DAP dan PKR? Selepas bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, menimbulkan isu tersebut, DAP dan PKR segera memberi reaksi pedas, menolaknya secara terang-terang.
Nasharudin menegaskan Pas berhak membentang usul rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat bagi melaksanakannya di Kelantan.
Baginya, ia tidak menjejaskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik Pas dengan sekutu pembangkang. Ini kerana tahaluf siyasi adalah kerjasama politik dan bukan kerjasama dasar perjuangan, fikrah, ibadah atau akidah.
Nasharudin berhujah bahawa antara ketiga-tiga parti kekal menjadi parti yang berbeza dengan sempadan masing-masing tanpa sesekali melibatkan dasar atau perjuangan parti yang diperjuangkan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub, kemudian memberi reaksi senada, bahawa Kerajaan Pas Kelantan tidak berganjak daripada pendirian membentangkan usul tersebut walaupun mendapat tentangan sekutu pembangkang.
Namun, DAP dan PKR menerusi Ketua Publisitinya, Tony Pua dan Naib Presiden, N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan sebarang cubaan untuk membentangkan usul rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat akan ditentang.
Sebelum itu, bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, lantang memberi ingatan kepada Dewan Rakyat agar jangan membenarkan usul tersebut diluluskan dengan alasan bertentangan de-ngan Perlembagaan Persekutuan.