Azmin, Khalid dan Saifuddin merebut apa?


Azmin-Ali-Khalid-Ibrahim

Timmy Say, The Malaysian Insider

Pemilihan timbalan presiden PKR adalah lebih menarik daripada pemilihan timbalan presiden parti-parti yang lain di Malaysia.

Azmin Ali selaku Timbalan Presiden PKR kini dicabar oleh musuh ketatnya Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan juga Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution.

Meskipun di atas kertas, ketiga-tiga calon ini seolah-olah merebut satu jawatan timbalan presiden.

Tapi sebenarnya, di antara mereka, yang tewas mempunyai kebarangkalian yang besar untuk dilantik ke jawatan setiausaha agong untuk memastikan parti tidak berpecah, dan yang menang amat berpotensi untuk memangku jawatan pemangku presiden sekiranya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa masuk ke penjara.

Impak kekalahan Saifuddin

Saifuddin memasuki perlawanan timbalan presiden ini sebagai Setiausaha Agong PKR dan juga dilihat sebagai pasukan pilihan Anwar selepas membentuk pasukan dalaman bersama Rafizi Ramli dan anak sulung Ketua Umum PKR, Nurul Izzah Anwar.

Jika Saifuddin kalah, sudah tentu beliau akan kembali ke jawatan Setiausaha Agong parti. Lebih-lebih lagi apabila jawatan presiden dan ketua umum yang jauh lebih berkuasa akan kekal di tangan Anwar ataupun Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kekalahan Saifuddin di tangan Khalid mahupun Azmin bakal menggegarkan penyokong Reformasi di PKR.

Akan tetapi, para penganalisa politik akan melihat perkara ini sebagai satu perkembangan positif untuk PKR kerana akhirnya akar umbi parti sudah bersedia bergerak daripada terlalu bergantung pada keluarga Anwar untuk membawa agenda dan menyatupadukan parti.

Kekalahan Saifuddin juga bermakna pembentukan pasukan untuk “memaksa” ahli-ahli PKR mengundi mengikut “menu” yang disediakan ditolak.

Dari sudut perpaduan parti, penyediaan menu sedemikian adalah tidak sihat kerana ia menggalakkan ahli-ahli parti saling membezakan antara diri sendiri berdasarkan sokongan dan kesukaan terhadap pemimpin.

Impak kekalahan Khalid

Khalid pula memasuki perlawanan timbalan presiden ini selaku menteri besar Selangor. Dari sudut parti, Khalid sebenarnya menyertai perlawanan ini sebagai seorang ahli PKR tanpa jawatan besar.

Di antara ketiga-tiga calon, Khalid adalah calon yang paling rilek. Tekanan pada beliau untuk memenangi jawatan ini adalah paling rendah di antara ketiga-tiga calon, kerana Khalid “has nothing to lose basically”.

Khalid tidak kisah tewas dalam pertandingan ini, yang diambil berat ialah samada Azmin boleh ditewaskan mahupun tidak.

Jika Khalid tewas, beliau akan kekal seperti keadaannya sekarang – sebagai menteri besar Selangor tidak berjawatan besar di partinya sendiri.

Susah dibayangkan beliau akan dilantik menjadi Setiausaha Agong kerana sikap CEOnya. Khalid tidak berisiko untuk keluar PKR jika tewas kerana beliau masih adalah menteri besar.

Kedudukan Khalid sebagai menteri besar Selangor juga sukar digugat kerana beliau mendapat sokongan padu daripada istana dan juga pihak yang menerima realiti politik Malaysia bahawa tiada apa-apa keuntungan yang boleh dicapai sekiranya hubungan menteri besar dengan istana adalah keruh.

Namun begitu, impak kekalahan Khalid pada pentadbiran Selangor akan ada. Iaitu samada Khalid akan menjadi lebih terbuka atau lebih tertutup untuk memastikan agenda bisnesnya untuk mengembangkan Selangor terlaksana sebelum persaraan beliau.

Sekiranya Azmin menang, ini bermakna duri dalam daging masih kekal seperti biasa untuk Khalid, dan ini boleh menyebabkan beliau menjadi lebih bersikap tertutup.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...