Hudud: PR tunggu penjelasan Pas Kelantan


azmin-ali

(Sinar Harian) – PR masih menunggu penjelasan kerajaan Kelantan berhubung pelaksanaan hukum huhud di negeri itu.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, sehingga kini tiada lagi perbincangan atau diskusi yang diadakan berhubung perkara tersebut.

“Jika ada sebarang gerakan, Pas Kelantan sepatutnya datang berbincang dengan PR. Tapi setakat ini masih tiada sebarang perbincangan,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, PR tetap tidak berganjak dengan pendiriannya mengenai hudud seperti dipersetujui melalui konsensus antara DAP, PKR dan Pas sejak 2011.

“Perkara ini tidak berbangkit kerana kita sudah mengadakan perbincangan bersama Majlis Presiden PR yang turut dihadiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Daripada perbincangan itu kami sudah buat keputusan secara jelas.

“Bagi saya, kita akan berpegang pada pendirian yang PR ambil pada sesi itu,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob menyatakan kesediannya melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukuman hudud selewat-lewatnya tahun 2015.

Satu rang undang-undang persendirian (private bill) juga akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah Negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukkan dalam Enakmen Hudud.

Selain itu, kuasa agensi pelaksana seperti polis dan penjara yang bertanggungjawab sebagaimana diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code) juga perlu dipinda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut memaklumkan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada Kelantan menguatkuasakan undang-undang hudud sekiranya drafnya dibentang di Dewan Rakyat.

 



Comments
Loading...