Hukum Hudud: Adakah PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat?


Nik-Mohamad-Amar

PAS tidak akan berganjak walaupun mendapat bantahan daripada sekutu mereka sendiri

Zabidi Saidi, FMT

Kerajaan Pas Kelantan tetap akan membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu biarpun menerima tentangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.

Pendirian tegas itu dinyatakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang turut memberi gambaran jelas bahawa Kerajaan Pas Kelantan tidak akan sekali-kali berganjak daripada keputusan tersebut yang sememangnya menjadi perjuangan sejak dahulu.

Tegas beliau, keputusan melaksanakan hukum hudud di Kelantan tidak akan berganjak walaupun mendapat bantahan daripada sekutu mereka sendiri.

Malah katanya, pendirian Pas untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Kelantan itu telah diluluskan di peringkat negeri sejak dahulu lagi sebelum pakatan pembangkang wujud.

“Perkara itu (hudud) tidak ada kena mengena dengan pihak lain (DAP dan PKR) kerana ia akan dilaksanakan di Kelantan dan langsung tidak menyentuh kebebasan bukan Islam.

“Tiada pihak yang perlu bimbang. Undang-undang ini hanya untuk umat Islam,” katanya.

Baru-baru ini DAP dan PKR menerusi Ketua Publisitinya, Tony Pua dan Naib Presiden, N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentang rang undang-undang itu akan ditentang.

Pendirian itu bagaimanapun mendapat bantahan Pas, apabila Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dengan tegasnya menyifatkan PKR dan DAP tidak berhak menghalang hasrat parti itu untuk membentangkan usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat.

Sebaliknya kata Mohd. Nassuruddin, kedua-dua parti tersebut sepatutnya menyedari pelaksanaan hudud adalah hak orang Islam yang tidak wajar dicampuri pihak lain terutamanya bukan Islam.

Sebelum itu, Kerajaan Pas Kelantan melalui Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan keputusan untuk membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat akan datang bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.

Keputusan tersebut susulan kesediaan Kerajaan Persekutuan memberi laluan kepada mana-mana kerajaan negeri bagi menguatkuasakan hukum hudud di negeri masing-masing.

Sementara itu, tambah Mohd. Amar yang juga merupakan Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Malaysia adalah sebuah negara yang demokrasi dan pendirian Pas itu sepatutnya tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Kalau semua pihak boleh hormat demokrasi ia (hudud) tidak akan menjadi masalah,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...