Hudud di Kelantan perlu sokongan 112 ahli parlimen


Mohamed Fadzli Hassan

(Harakah Daily) – Kerajaan negeri akan memperkemaskan lagi Enakmen Kanun Jenayah Syariah II termasuk memasukkan enakmen di bawah hukuman ta’zir.

Takzir iaitu sebagai ganti hukuman hudud apabila keterangan tertuduh tidak memenuhi syarat-syarat untuk membuktikan kesalahan di bawah hudud.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, Enakmen Takzir akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Katanya, langkah tersebut sebagai usaha bagi memperkemaskan lagi Enakmen Kanun Jenayah Syariat II yang dilulus pada persidangan Dun Kelantan pada 1993.

“Pandangan dan teguran pelbagai pihak sebelum ini diambil kira bagi memperkemaskan lagi perundangan tersebut sebelum ia dapat dilaksanakan,” katanya di sini.

Pada 2 April lalu Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob mengumumkan kerajaan Kelantan akan membawa bil persendirian ke parlimen melalui anggota parlimen untuk membolehkan perundangan syariah dapat dilaksanakan.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Yusnan Yusof ketika ditemui berkata, Enakmen Takzir kini sedang disiapkan bagi menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985.

Katanya, Enakmen Takzir bagi membolehkan hukuman lebih luas dikenakan terhadap pesalah-pesalah di bawah seksyen terbabit.

Seksyen 47 bagi kesalahan takzir yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II menjelaskan keterangan yang tidak memenuhi syarat-syarat untuk membuktikan kesalahan hudud, maka tertuduh boleh dihukum dengan hukuman ta’zir.

Dr Yusnan yang juga Adun Melor berkata, beliau dipertanggungjawab menyiapkan draf enakmen tersebut sebelum diangkat kerajaan negeri untuk dibawa ke persidangan Dun.

Dr Fadzli juga berkata, dua bil persendirian yang akan dibawa ke parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dilaksanakan iaitu rang undang-undang bagi mendapat kebenaran Kelantan melaksanakan hudud.

Dan kedua, pindaan Akta Mahkamah Syariah bagi membolehkan kesalahan di bawah perundangan hudud dikenakan hukuman lebih setimpal.

“Rang Undang-Undang tersebut hanya memerlukan sokongan majoriti mudah iaitu sebanyak 112 anggota parlimen bagi membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan,” ujarnya.

Bilangan anggota parlimen sekarang seramai 222 orang, manakala Pakatan Rakyat ada 89 wakil. Kelantan hanya memerlukan tambahan sokongan 33 anggota parlimen BN bagi membolehkan perundangan hudud dapat dilaksanakan di negeri ini.

 



Comments
Loading...