Daim: Untuk berjaya di bandar, bumiputera kena ceburi perniagaan


media.themalaysianinsider.com_images_uploads_mugshots_daim-zainuddin1-aug11

(Bernama) – Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin menyarankan lebih ramai Bumiputera menceburi bidang perniagaan sebagai langkah untuk mencipta kejayaan di bandar.

Beliau berkata Bumiputera harus melengkapkan diri dengan pengetahuan dunia perniagaan, berani mencuba dan bermentorkan individu yang telah berjaya sebagai resepi untuk mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan yang ingin diceburi.

“Ilmu asas perniagaan, kepakaran matematik, bahasa asing dan konsep untung rugi perlu disemai sejak peringkat kanak-kanak, agar budaya niaga berkembang pada orang Melayu.

“Ikhtiar dan sasarkan kejayaan dalam apa jua bidang terlebih dahulu, baharulah kekayaan akan datang,” katanya semasa Program Bicara Petang anjuran bersama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 300 usahawan dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hadir untuk berkongsi idea bersama Tun Daim bertema ‘Ekonomi Bandar Malaysia – Adakah Bandar Melayu?’

Menurut Daim kejayaan yang boleh dicipta dalam sektor swasta dan perniagaan terbuka luas dan tiada batasannya berbanding kerjaya dalam kerajaan.

“Sikap yang harus ditanam ialah ‘kesungguhan’, dan jika kaum lain boleh berjaya di bandar, maka usahawan Bumiputera dan tempatan juga tentulah boleh,” katanya mengenai pegangan aset Bumiputera yang rendah di kebanyakan bandar-bandar Malaysia.

Beliau turut mengkritik mengenai bilangan agensi kerajaan berkaitan Bumiputera yang besar jumlahnya namun masih belum berjaya meningkatkan penguasaan dan pegangan aset Bumiputera di bandar, sekali gus mencadangkan tahap keberkesanan beberapa agensi terbabit dikaji dan dibentangkan kepada kerajaan.

 



Comments
Loading...