Pemuda PAS desak pecat Hu Pang Chaw kerana tidak sokong hudud


Hu Pang Chaw

(The Malaysian Insider) – Ekoran isu hudud yang kembali bergema, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chaw bakal menjadi mangsa pertama apabila beliau membuat kenyataan yang tidak positif mengenainya.

Hari ini, Pemuda PAS kawasan Kota Baru dalam satu kenyataan mereka, mencadangkan Hu dilucutkan daripada jawatan pengerusi DHPP.

Ketua Pemuda PAS Kota Baru, Dr Rosli Allani Abdul Kadir dalam kenyataannya berkata, tindakan ini perlu diambil segera mungkin bagi memastikan “martabat PAS sebagai sebuah parti politik Islam terpelihara, martabat pemimpin PAS tidak diperlekehkan di mata umum dan DHPP sendiri berfungsi mengikut tujuan asal ia ditubuhkan, iaitu sebagai sebuah badan yang akan menyokong dasar PAS”.

Bagi beliau, tindakan ini tidaklah mencerminkan penolakan PAS kepada masyarakat bukan Islam, tetapi ia hanyalah merupakan penolakan PAS kepada individu yang mahu menjadikan kedudukan di dalam PAS sebagai peluang untuk mendapatkan sesuatu.

“PAS sentiasa mengalu-alukan masyarakat bukan Islam yang ikhlas untuk bersama dengannya,” kata Rosli dalam satu kenyataannya hari ini.

Selepas pengumuman Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob bahawa Kelantan akan membawa dua rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat bagi membolehkan Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dilaksanakan di negeri itu, Hu dilihat tidak positif tentangnya.

Pada 16 April 2014, Hu membuat kenyataan, “DHPP sama sekali tidak akan memainkan peranan untuk memperjelaskan kepada bukan Islam, terutamanya di Kelantan berkaitan hukum hudud.

“DHPP tidak relevan untuk memberikan penerangan hukum hudud itu kepada bukan Islam… seperti di Kelantan, rakyat sudah memilih PAS dan bagi DHPP adalah wajar pucuk pimpinan dan wakil rakyat yang memainkan peranan itu”.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...