Agenda Melayu
Secebis Kewarasan
Di kala dunia pesat berkembang, isu Melayu masih sama – kemiskinan. Biarpun sudah hampir 60 tahun merdeka, orang Melayu tetap ketinggalan. Dahulu, boleh disalahkan penjajah yang sengaja melemahkan kuasa politik dan ekonomi Melayu bagi mengaut kekayaan negara. Sekarang, alasan yang sama tidak boleh diterima.
Kemiskinan Melayu kini bertambah parah disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda negara. Hidup orang Melayu yang sudah sememangnya susah, disusahkan lagi dengan kenaikkan kos sara hidup dan inflasi. Hendak bekerja di negara sendiri pun sukar. Sektor buruh telah didominasi warga asing. Kini, bidang profesional seperti teknologi maklumat, kejeruteraan dan perubatan, mula ditembusi mereka.
Orang Melayu harus kembali sedar akan hakikat kemunduran bangsanya. Pernah satu ketika, iaitu menjelang dan beberapa dekat selepas merdeka, orang Melayu amat peka dengan agenda memajukan bangsa. Tumpuan kepimpinan Melayu ketika itu, di segenap lapisan – politik, perniagaan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya – adalah survival dan masa depan bangsa. Kepimpinan Melayu sekarang sudah tidak seperti itu. Mereka mementingkan kesenangan peribadi dan populariti.
Agenda Melayu rasis?
Agenda Melayu bukanlah agenda yang rasis. Aspirasi memajukan bangsa sendiri adalah sifat semulajadi manusia. Setiap bangsa mempunyai agenda masing-masing. Orang Cina ada agenda Cina, orang India ada agenda India, orang kulit hitam di Amerika ada agenda kulit hitam, dan orang Yahudi mempunyai agenda Yahudinya. Agenda kebangsaan sesuatu kaum bertukar rasis hanya apabila ia menzalimi bangsa lain.
Malangnya, agenda Melayu dikaitkan dengan rasisme. Orang Melayu yang membicarakan tentang nasib dan masa depan bangsanya akan dilabel rasis. Ianya taboo, terlarang, seakan haram. Ini adalah persepsi yang salah.
Punca utama persepsi negatif tersebut adalah organisasi Melayu sendiri, terutamanya UMNO dan sekutunya seperti Perkasa. Daripada merancang dan berusaha memajukan orang Melayu, mereka menyerang dan menyalahkan bangsa lain. Gelaran seperti ‘pendatang’ dan saranan supaya kaum lain balik ke negara asal – amat biadap. Tingkah laku rasis beginilah yang mencemarkan imej Melayu.
Kaum yang banyak menentang usaha meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera adalah kaum Cina. Ketidakpuasan hati mereka berpunca dari mentaliti ‘zero-sum’ – iaitu ‘jika orang Melayu untung, kami rugi’ – hasil hasutan pemimpin-pemimpin Cina yang chauvinis. Korupsi pemikiran ini menghalang orang Cina bersikap terbuka kepada usaha-usaha menyama-ratakan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat.
Hubungan sosio-ekonomi antara kaum dalam masyarakat berbilang bangsa seperti Malaysia, amatlah berkait. Apabila kedudukan sosio-ekonomi masyarakat tidak seimbang, akan timbul ketegangan. Ketakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum (tinggalan penjajah) cuba diperbetulkan oleh pentadbiran Tun Razak melalui Dasar Ekonomi Baru – dengan tujuan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia. Malangnya, masyarakat kita gagal melihat kebijaksanaan Tun Razak. Pemimpin Melayu selepas beliau menyalah-guna peluang ekonomi yang disediakan sebagai lubuk mengayakan diri, bukannya untuk memajukan bangsa. Orang cina pula, biar pun mengawal sebahagian besar ekonomi negara, tidak mahu berkompromi disebabkan mentaliti ‘zero sum’ yang tebal. Akhirnya, iklim sosio-ekonomi masyarakat kita kekal tidak seimbang, hingga ke hari ini.
Agenda Melayu bertentangan dengan Islam?
Banyak pendapat yang mengatakan bahawa agenda Melayu bertentangan dengan syariah dan haram. ‘Fatwa-fatwa’ sebegini dikeluarkan oleh mereka yang ingin dilihat sebagai ‘Islamis’. Walaupun berpengetahuan agama, golongan ‘Islamis’ sangat ketat dengan pendapat masig-masing. Hujah yang lain selain dari hujah mereka adalah sesat. Pendekatan begitu sebenarnya bertujuan untuk mengukuhkan pengaruh mazhab dan aliran fahaman mereka supaya kelihatan lebih suci dan mulia dari aliran lain.