DAP cabar PAS: Keluar Pakatan kalau mahu hudud
Tindakan persendirian PAS untuk melaksanakan hudud mencabul perjanjian dasar bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga.
K. Pragalath, Free Malaysia Today
Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke mahu PAS berundur dari Pakatan Rakyat sekiranya ia tetap berdegil untuk melaksanakan hukuman hudud di Kelantan.
“Sekiranya PAS bertegas untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan tanpa mencapai keputusan bersama dalam Pakatan Rakyat, maka langkah paling terhormat dan sewajarnya untuk PAS ialah berundur dari Pakatan,” kata Loke dalam satu nota yang ditulis beliau menerusi laman sesawang Facebook.
“PAS tidak boleh terus bertindak bertentangan dengan dasar bersama Pakatan Rakyat tetapi pada masa yang sama tetap bersandar kepada Pakatan Rakyat,” tambahnya.
Menurut Loke yang juga adalah setiausaha organisasi kebangsaan DAP, penegasan persendirian pimpinan kerajaan Kelantan tanpa mencapai kata sepakat bersamaan dengan mencabul permuafakatan Pakatan Rakyat.
Beliau berkata demikian sambil merujuk kepada usaha PAS untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian menerusi ahli parlimen PAS Kelantan di Dewan Rakyat dalam bulan Jun.
Beliau turut menjelaskan bahawa penentangan DAP terhadap hukum hudud bukan kerana parti beliau bersifat anti-Islam.
“DAP tidak pernah mempersendakan hukum Islam untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam sebagaimana yang dilakukan oleh para pemimpin MCA,” jelasnya.