PAS ambil pendekatan yang ganjil, kata Dr Aziz Bari


Dr Abdul Aziz Bari

Berada dalam Pakatan, tetapi memerlukan sokongan Umno

(Free Malaysia Today) – Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari mendakwa PAS mengambil pendekatan yang ganjil, ia berada di dalam Pakatan Rakyat tetapi membuat gerak yang memerlukan sokongan Umno yang berada di dalam Barisan Nasional.

Katanya, ini yang menyebabkan prosedur dan jalan yang diambil berbelit-belit dalam pelaksanaan hukum hudud.

“Saya berasa aneh mengapa Perkara 76A dibangkitkan sedangkan di dalam perlembagaan ada peruntukan yang lebih jelas dan tegas mengenai hudud ini, contohnya “hukum syarak” yang disebut di bawah senarai negeri,” kata beliau dalam sebuah artikel yang ditulisnya dalam sebuah portal berita.

Beliau yang juga bekas calon PKR pada PRU lalu berkata penentangan oleh golongan bukan Islam timbul kerana hudud dihujah melalui kuasa persekutuan.

“Umno tidak berbuat apa-apa. Setakat artikel ini ditulis, bahkan kita sendiri pun masih belum jelas pendirian dan komitmen Umno mengenai hudud ini,” katanya lagi.

Katanya, sokongan yang dizahirkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Annuar Musa bukan pendirian rasmi parti.

“Kita mungkin boleh berpegang dengan apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Jamil Khir sebagai anggota kabinet,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya lagi, kenyataan terbaru Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menampakkan komitmen tegas melaksanakan hudud dan ini menyebabkan sokongan Jamil Khir itu tidak bermakna apa-apa.

Beliau berpendapat meskipun hudud bukan dasar Pakatan Rakyat ia masih boleh dilaksanakan kerana di sana ada beberapa prasarana tertentu yang boleh digunakan.

“Ini termasuk komitmen menjunjung perlembagaan dan ruang untuk pelaksanaan ideal federalism yang sepenuhnya di negara ini. Tetapi ia memerlukan kesabaran dan kerja keras di pihak PAS,” tegasnya.

Dr Aziz berkata apa yang kita lihat PAS semakin lemah; ia hanya memiliki 21 kerusi parlimen di samping kehilangan Kedah. Dalam pada itu di Kelantan pun undi popular yang PAS dapat tidak melebihi 50 peratus; sesuatu yang menimbulkan tanda tanya tentang keabsahan tindakan PAS di sisi demokrasi.

“Yang jelas, sebagaimana 2008, di dalam senario sekarang Umno yang mendapat laba politik,” dakwanya.

Dr Aziz berkata ada yang beranggapan bahawa beliau enggan membantu Kelantan dalam isu pelaksanaan hudud selain mendakwanya berdolak-dalik.

“Saya berasa perlu untuk menjelaskan beberapa perkara yang mungkin kelihatan remeh. Saya ke Kelantan dua minggu lalu untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa teknikal pelaksanaan hudud yang dipengerusikan oleh timbalan menteri besar,” jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya, oleh kerana tidak ada siapa yang menunggunya di lapangan terbang beliau membuat keputusan untuk balik semula ke Kuala Lumpur selepas dua jam.

“Saya menganggap ia sangat ganjil kerana sejak 1996 lagi sentiasa ada pegawai yang menunggu ketibaan saya,” dakwanya.

Jelasnya lagi, dalam beberapa kesempatan beliau malah dijemput oleh pimpinan atasan seperti bekas Speaker Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dan Fatah Haron, bekas ahli parlimen Rantau Panjang.

“ Mungkin saya perlu sebutkan bahawa saya ke Kelantan dengan perbelanjaan sendiri,” katanya lagi.

Katanya lagi, tahun lalu namanya dijaja oleh kerajaan negeri kononnya diminta menjalankan kajian tentang hudud sedangkan beliau tidak dimaklumkan mengenainya.

“Dalam pada itu seorang anggota exco Kelantan beberapa kali menefelon saya hendak berjumpa untuk memohon penjelasan mengenai halangan pelaksanaan hudud. Tetapi sehingga hari ini beliau tidak pernah datang berjumpa,” katanya sambil menafikan beliau enggan membantu PAS seperti mana kritikan akhbar Harakah.

Katanya lagi, minggu lalu ahli parlimen Sepang dan peguam Mohamed Hanipa Maidin menyebut teori perlembagaan beliau dan kesannya kepada kes Lina Joy di mahkamah.

“Kes mengenai isu murtad ini menggegarkan negara pada 2005. Sebenarnya pendekatan yang sama jugalah yang saya pakai dalam menghujah keharusan pelaksanaan hudud melalui kerangka perlembagaan kita,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...