Hudud: Tidak perlu persetujuan PKR, DAP, cukup PAS pusat, kata timbalan MB


www.freemalaysiatoday.com_wp-content_uploads_2012_07_Datuk-Mohd-Amar-Nik-Abdullah

(The Malaysian Insider) – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengakui masih belum ada perbincangan yang dibuat kerajaan negeri bersama PKR dan DAP mengenai penolakan dua parti pak‎atan itu untuk menerima pelaksanaan hukum hudud.

Menurut Mohd Amar, bagi kerajaan negeri, paling diutamakan adalah persetujuan daripada PAS pusat.

“Kita belum berbincang apa-apa lagi, dia (PKR, DAP) hendak bercakap, cakaplah lagipun kenyataan tersebut dikeluarkan sebelum kita bincangkan apa-apa lagi.

“‎Paling penting kita jumpa PAS pusat dan mereka sudah bersetuju, itu sudah cukup,” katanya dipetik daripada akhbar Sinar Harian hari ini.

‎Beliau juga berkata tiada perpecahan yang boleh berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) sekiranya PKR dan DAP bijak mengambil pendirian mengenai isu hudud.

“Jika sebaliknya berlaku, ia akan membawa kepada keretakan hubungan, kita berharap PKR dan DAP bertindak bijaksana.

“Sebagai sebuah parti, kita tidak tahu apa respons mereka dan kita akan meminta pimpinan PAS pusat bawa perkara itu kepada pimpinan PKR,” katanya.

Berikutan daripada hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud dengan membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen, ia mendapat tentangan daripada PKR dan DAP.

Kerana kritikan keras yang dikeluarkan parti PR, terutamanya DAP, ia menimbulkan khabar angin bahawa isu tersebut bakal membawa perpecahan kepada tiga parti gabungan tersebut.

Menurut Mohd Amar, kerajaan negeri juga sudah bertindak berjumpa dengan pemimpin PR sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) bagi berbincang mengenai pelaksanaan hududd.

Katanya, dalam perbincangan tersebut PAS mengambil pendirian bersetuju untuk tidak bersetuju di mana pelaksanaan hukum akan diteruskan biarpun tidak menerima sambutan daripada DAP.

“Hudud diluluskan pada 1993 di Dewan Negeri sebelum wujudnya PR, lagipun kita hendak laksanakan di negeri ini.

“Ini bukannya soal terlalu cepat atau tidak, kalau mahu bercakap soal demokrasi, kita harus hormati hasrat kerajaan negeri kerana kita menang dengan cara demokrasi,” katanya.

Tambahnya lagi, parti PR yang lain perlu menghormati kehendak dan hasrat pengundi Kelantan untuk melihat undang-undang Islam dilaksanakan.

“Orang sokong kita sebab ingin lihat undang-undang Islam dilaksanakan, sekurang-kurangnya di negeri ini.

“Mereka harus hormat, bukan demokrasi jika nafikan hak rakyat,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...