Kit Siang gesa pemimpin Pakatan henti beri kenyataan isu hudud


Lim-Kit-Siang-300x202

(TMI) – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahu semua pemimpin Pakatan Rakyat berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung hasrat rakan gabungannya, PAS yang mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Pemimpin veteran itu berkata, semua tiga parti dalam pakatan pembangkang termasuk barisan pemimpinnya perlu berhati-hati dengan plot musuh mereka, Umno yang boleh menyebabkan Pakatan tidak sepakat dengan menekankan perbezaan apabila pemimpin memilih ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dan pakatan perlu berpegang kepada rangka kerja polisi bersama.

“Dalam keadaan ini, saya meminta semua kenyataan berhubung kontroversi hudud daripada pemimpin Pakatan Rakyat dihentikan serta merta dan isu itu akan dirujuk kepada majlis kepimpinan Pakatan Rakyat untuk keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu hudud baru-baru ini kembali panas apabila PAS mengumumkan pelan pada bulan ini untuk membawa dua rang undang-undang persendirian ke Parlimen untuk membenarkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Pengumuman itu mencetuskan perang mulut antara Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Penganjur DAP, Anthony Loke.

Nik Amar berkata, rakan dalam pakatan tidak mempunyai hak untuk masuk campur dalam pelan parti Islam itu untuk melaksanakan hudud di negeri pantai timur, menyebabkan Loke menggesa PAS meninggalkan Pakatan jika mereka tetap meneruskan rancangan itu.

Lim yang juga ketua Parlimen DAP, berkata kedua-dua pemimpin berkenaan perlu lebih berhati-hati kerana ramai dalam Umno dan Barisan Nasional suka untuk ‘menangguk di air yang keruh’.

“Mari semua pemimpin Pakatan Rakyat, tidak kira sama ada DAP, PAS atau PKR, kita terus dipandu oleh rangka kerja polisi bersama Pakatan dan persepakatan selama ini untuk memberi harapan kepada Malaysia mengubah lanskap parti dalam negara jika mahu Malaysia menjadi bersatu, demokrasi, mampu bersaing dan negara yang maju,” katanya.

Pemimpin veteran itu mula membuat ulasan berhubung isu berkenaan selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng awal hari ini menafikan dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan majlis kepimpinan Pakatan Rakyat bersetuju dengan rancangan pelaksanaan hudud di Kelantan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...