Hudud: PAS setuju untuk tidak bersetuju


http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2011/10/Mahfuz-Omar-300x202.jpg

Perbezaan pendapat dalam hukum hudud ini merupakan perbezaan kecil dalam Pakatan Rakyat (PR)

Ikhwan Zulkaflee, Free Malaysia Today

DAP berhak menolak perlaksanaan hukum hudud, sebagaimana PAS berhak untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dilaksanakan.

Menurut Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, perbezaan pendapat dalam hukum hudud ini merupakan perbezaan kecil dalam Pakatan Rakyat (PR) jika dibandingkan dengan perubahan yang cuba dibawa.

“Justeru, kita bersetuju untuk tidak bersetuju dalam soal hudud ini namun ianya tidak akan sesekali memecahkan kerjasama dalam PR yang membawa amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan yang diedarkan semalam.

Tambah Mahfuz, setiap parti komponen PR sedia maklum dengan pendirian masing-masing berkenaan hukum hudud sebelum terciptanya PR sendiri.

“Namun, kerjasama yang dibina adalah berteraskan kepada agenda-agenda yang dipersetujui bersama yang bilangannya jauh lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan agenda tunggal hudud yang merupakan agenda PAS secara solo yang diperjuangkan PAS jauh lebih awal sebelum pembentukan kerjasama politik di dalam PR.

“Oleh kerana itu, PAS tidak mempunyai sebab untuk memusuhi rakan-rakan PR sekiranya mereka tidak bersetuju dengan PAS dalam soal hudud ini dan mereka berhak untuk tidak menyokong rang undang-undang yang akan Pas bawa di Parlimen kelak,” katanya.

Jelas Mahfuz, PAS berkeras membawa perkara ini ke Parlimen untuk mendapat legitimasi demokrasi di samping untuk memberi peluang kepada ruang perbahasan nasional yang melibatkan semua pihak di dalam negara ini.

“Oleh kerana itu, PAS memilih untuk membentangkan rang undang-undang di bawah Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar Parlimen sendiri memberikan kebenaran kepada DUN Kelantan untuk melulus dan seterusnya melaksanakan Enakmen hudud tersebut.

“Fakta ini sewajarnya direnungkan dan tidak disembunyikan oleh mereka yang menggelarkan diri sebagai pejuang demokrasi tetapi begitu bersungguh untuk menghalang PAS dari membentangkan rang undang-undang berkaitan di Parlimen,” tegasnya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...