PAS penentu masa depan Pakatan Rakyat?


wanhamidi_170x62

Apabila isu-isu agama dibangkitkan dalam pilihanraya, ia memberi kesan buruk kepada parti-parti pembangkang.

Wan Hamidi Hamid, TMI

Sejak penubuhannya pada 1951, PAS tidak pernah putus asa dalam perjuangan politiknya. Ramai pemimpinnya menjadi mangsa kezaliman pemerintah Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional.

Namun, selepas setiap ketika kezaliman dan kekejaman dirasai, seolah-olah ada pemimpin PAS yang lupa dengan apa yang pimpinan Umno lakukan terhadap parti mereka.

Tetapi ramai lagi ahli-ahli PAS yang tidak lupa dengan kelicikan politik Umno.

1960: Menyokong ISA, menjadi mangsa ISA

Selepas darurat anti-komunis ditamatkan pada 1960, kerajaan Malaya pimpinan Tunku Abdul Rahman merasakan masih perlu ada undang-undang untuk membasmi kegiatan komunis yang dianggap masih berserpihan.

Tunku berjaya memujuk parti pembangkang yang terbesar pada masa itu, PAS, dengan menjanjikan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya akan digunakan terhadap komunis sahaja dan tidak akan disalahgunakan terhadap pembangkang atau mana-mana suara sah yang membantah kerajaan. PAS yang memang anti-komunis dengan mudah mempercayai janji Umno. Namun, dalam masa yang singkat sahaja, ISA digunakan terhadap pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmy.

1973: Menyertai BN, habis madu sepah dibuang

Selepas pergaduhan kaum 13 Mei 1969, pemimpin Umno ketika itu Tun Razak Hussein memujuk PAS menyertai gabungan pemerintah yang baru iaitu Barisan Nasional atas asalan mahu mewujudkan era baru perpaduan melalui proses pembangunan negara. Walaupun ramai ahli PAS sedar sikap dan pendirian Umno, pimpinan PAS masih mahu duduk bersama dengan Umno dalam saf yang baru. Maka muktamar PAS pada awal 1973 meluluskan usul menyertai BN.

BN menang besar dalam PRU 1974. Pemimpin PAS, Asri Haji Muda mendapat habuan menjadi menteri di peringkat pusat manakala pimpinan lain dilantik menjadi timbalan menteri dan jawatan-jawatan lain.

Sewaktu zaman kegemilangan BN itu, tiada siapa di dalam kerajaan yang mahu menubuhkan negara Islam atau melaksanakan hudud. Pada masa itu juga hanya tinggal DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) sebagai pembangkang yang serius.

Selepas Hussein Onn menjadi perdana menteri, masalah dalaman PAS di kubu kuatnya di Kelantan dijadikan isu untuk merampas kuasa. PAS dipecat daripada BN dan ia hilang kuasa di Kelantan dalam pilihan raya negeri dan kalah teruk dalam PRU 1978.

1982: Kepimpinan ulama, tanpa kemenangan pilihan raya

Selepas kembali menjadi pembangkang, PAS hanya menang 5 kerusi Parlimen dalam PRU 1982 dan kalah teruk dengan satu kerusi sahaja pada PRU 1986. Walaupun sudah berubah menjadi parti kepimpinan ulama, kemenangan di medan pilihan raya masih kabur untuk PAS. Sebaliknya ia berlumba dengan Umno untuk menonjolkan siapa lebih Islam. Timbul aktiviti dan program untuk menunjuk-nunjuk amalan dan simbol Islam sehingga berlaku isu kafir-mengkafir di antara Umno dan PAS.

1988: Pengharaman Umno, untung PAS kerana Semangat 46

Perebutan kuasa dalaman Umno di antara Dr Mahtahir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 antara lain menyebabkan Umno diharamkan oleh mahkamah. Ia kemudian dihidupkan semula oleh puak Dr Mahathir sebagai Umno Baru manakala Ku Li terpaksa menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 selepas usahanya mendaftarkan semula Umno ditolak oleh kerajaan.

Semangat 46 mewujudkan dua gabungan, iaitu bersama parti-parti Melayu Islam seperti PAS dan Berjasa (Angkatan Perpaduan Ummah – APU) dan bersama parti-parti pelbagai kaum seperti DAP dan Parti Rakyat Malaysia serta Parti Bersatu Sabah (Gagasan Rakyat).

Melalui kerjasama ini, Semangat 46 bertanding di kebanyakan kerusi Parlimen manakala PAS di peringkat negeri, khususnya di Kelantan. PAS bernasib baik apabila berjaya menawan semula Kelantan dalam PRU 1990 walaupun kedua-dua gabungan pembangkang itu gagal menegejutkan arena politik Malaysia.

Setelah menang kembali di Kelantan, PAS mahu melaksanakan hukum hudud walaupun tidak ada dinyatakan dalam sebarang pendirian bersama sebelum PRU 1990. Oleh kerana perbalahan itu berpanjangan, DAP pada 1995 menarik diri dari Gagasan Rakyat yang merupakan gabungan kembar dengan APU.

1995: Kembalinya kuasa BN, pembangkang berpecah-belah

Dr Mahathir mengukuhkan kedudukan Umno-BN dengan kuasa yang ada serta undang-undang yang lebih zalim. Keadaan itu yang turut diberatkan dengan masalah dalaman pembangkang memudahkan BN menang besar dalam PRU 1995.

Kekuatan Dr Mahathir termasuk menonjolkan keadaan ekonomi yang lebih baik (walaupun kemudiannya didedahkan sebagai ekonomi buih). Kebanyakan rakyat Malaysia juga membuat pilihan atas keputusan ekonomi, dan bukannya emosi atau sentimen kaum dan agama.

Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/wan-hamidi-hamid/article/pas-penentu-masa-depan-pakatan-rakyat



Comments
Loading...