Ahli PKR desak Azmin disingkir dari pencalonan


Azmin Ali

(Malaysian Gazette) – Ahli PKR mendesak pucuk pimpinan parti memecat Mohamed Azmin Ali dan menarik balik pencalonannya daripada merebut jawatan Timbalan Presiden.

Rata-rata dalam kalangan ahli tidak berpuas hati tindakan dan sikap Mohamed Azmin yang dikatakan ‘bermain kotor’ dalam usaha terdesaknya mendapatkan sokongan atau undi ahli pada pemilihan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak.

Seorang ahli, Idris Yaakob, 54, berkata, beliau tidak suka cara penyandang jawatan Timbalan Presiden itu menjalankan kempen di setiap cabang di seluruh negara kerana dikatakan menggunakan unsur paksaan dan ugutan terhadap ahli.

Jelas beliau, proses pengundian tidak berjalan lancar kerana ada sesetengah cabang di beberapa negeri berkenaan menutup pusat mengundi lebih awal tanpa pengetahuan ahli yang datang sejak awal pagi untuk memilih calon.

“Seminggu sebelum tarikh pengundian, ahli dimaklumkan pusat mengundi ialah di pejabat cabang masing-masing, tetapi apabila tiba hari mengundi, ahli dapati pejabat yang dikatakan dijadikan tempat mengundi telah dipindah tanpa dimaklumkan.

“Jawatankuasa bertugas juga tidak menampal sebarang notis untuk memaklumkan kepada ahli tempat baru pusat pengundian yang disediakan,” katanya.
Sebelum ini, ahli PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard mendesak penyertaan Mohamed Azmin dibatalkan dalam pertandingan merebut Timbalan Presiden PKR.

Beliau yang juga Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dilaporkan meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Gombak itu berikutan pasukannya dikatakan melakukan penipuan ketika proses pemilihan di beberapa cabang di Sarawak Sabtu lalu.

Sementara itu, seorang lagi ahli PKR cabang Dungun, yang mahu namanya dikenali sebagai Munir menjelaskan, beliau mengetahui pusat mengundi dipindah kira-kira jam 12 tengah hari dan bergegas ke lokasi baru sebagaimana makluman diterimanya.

Bagaimanapun, menurutnya, sebaik tiba di lokasi baru itu kira-kira jam 3petang, beliau dimaklumkan jawatankuasa pemilihan yang memantau perjalanan proses pengundian telah menamatkan masa mengundi lebih awal tanpa memberi sebarang alasan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan lokasi baru proses mengundi bagi cabang ini dipindah sejauh 30 kilometer dari tempat asal.

“Tidak logik langsung tempat mengundi dipindahkan. Teruk sangatkah proses pengundian ahli PKR sehingga jawatankuasa pemilihan peringkat negeri terpaksa memindahkannya lebih jauh dari penempatan ahli,” katanya yang tidak dapat mengundi calon pilihannya.

Kejadian itu turut mendapat reaksi daripada calon Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub yang dilaporkan berkata, JPP perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana calon termasuk pemimpin utama yang didapati melanggar peraturan ketika berkempen.

Katanya, JPP juga perlu melakukan siasatan segera aduan yang dikemukakan ahli dan tindakan tegas wajar diambil jika terbukti calon berkenaan melanggar peraturan ditetapkan.

 



Comments
Loading...