PKR tolak pemimpin penipu


Khalid Ibrahim

(Malaysian Gazette) – “Kita marah jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak diambil tindakan bila kita dapati terdapat penipuan pada Pilihan Raya Umum (PRU). Kita hentam SPR. Sekarang dalam pemilihan parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun ada penipuan.

“Kita tidak akan biarkan perkara ini. Siapa yang menipu patut dikenakan tindakan. Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tak boleh berdiam diri. JPP kena tegas sebagai mana kita desak SPR pada PRU.”

Itu kata Tan Sri Khalid Ibrahim bila diminta mengulas mengenai penipuan yang berlaku pada pemilihan saf kepimpinan PKR yang sedang berlangsung ketika ini.

“Pucuk pimpinan PKR menentang segala bentuk penipuan baik dalam PRU mahupun pemilihan parti. Kita tidak akan bertolak ansur dalam hal begini.

“Biarlah buruk pada pandangan orang tetapi apa yang penting, parti bersih daripada ahli yang menipu dan tidak jujur serta mementingkan diri sendiri,” katanya.

Tambahnya, selain menipu, kempen menyerang calon untuk mendapatkan undi sepatutnya dielakkan kerana ia hanya akan menjejaskan imej parti.

“Memburukkan calon lawan bukan amalan saya untuk mendapatkan undi. Tak payah nak burukkan sesiapa. Ahli boleh menilai diri saya melalui kepimpinan dan intergriti saya.

“Kalau fikir saya layak untuk jawatan Timbalan Presiden, undilah saya. Kalau ditakdirkan kalah, saya tidak akan kecewa kerana perwakilan lebih bijak membuat keputusan,” katanya.

 



Comments
Loading...