Langkah Hudud — PAS kini UMNO 2.0


www.freemalaysiatoday.com_wp-content_uploads_2013_11_Hudud-Umno-Pas-300x202

Rais Farisi, Malay Mail Online

Tidak berapa lama setelah rakyat Malaysia dikejutkan dengan Langkah Kajang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekarang kita disajikan pula dengan Langkah Hudud oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Ada yang gembira bersorak, ada yang marah berteriak dan ada yang keliru dengan tindakan PAS ini. Bukanlah lagi satu kejutan jika PAS bertegas untuk menguatkuasakan undang-undang hudud kerana PAS sudah lazim dikenali sebagai pejuang agenda negara islam semenjak dari dulu kini dan selamanya.

Tetapi, persoalan yang bermain di buah fikiran khalayak ramai adalah, mengapa sekarang? Rata-rata masyarakat tentu terlepas pandang bahawa sebenarnya isu perlaksanaan hudud kali adalah sandiwara yang dimainkan oleh segelintir mereka dalam PAS semata-mata. Setelah merasakan kekuatan mereka tercabar dan kepentingan mereka terancam, golongan ini merancang dengan  begitu tekad untuk menunjukkan kuasa mereka kepada rakan mereka dalam Pakatan Rakyat dan seteru mereka United Malays National Organisation (UMNO). Salah satu daripada langkah dalam percaturan mereka adalah “Langkah Hudud” yang kita saksikan tempoh hari.

Dengan berkeras untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan tanpa menghirau pandangan daripada rakan-rakan seperjuangannya, golongan dalam PAS ini telah menunjukkan kepada umum bahawa PAS tidak lain dan tidak bukan hanyalah satu lagi parti politik yang mengidamkan kuasa. Dengan mengetengahkan isu ini secara berseorangan, golongan dalam PAS ini telah secara langsung membelakangkan muafakat yang telah mereka meterai bersama rakan-rakan seperjuangan PKR dan Democratic Action Party (DAP). Hilanglah prinsip yang mana janji-janji mesti dikotakan dan muafakat yang dibuat haruslah dihormati.

Dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang lepas, PAS telah pun mengetengahkan konsep ‘Negara Berkebajikan’. Di samping itu, mereka juga mencanangkan slogan ‘PAS untuk semua’ (PAS for ALL) yang mana konsep-konsep ini membawa PAS ke arah lebih tengah dalam spektrum politik Malaysia. Imej yang lebih moderat yang dibawa oleh PAS telah membuka hati ramai orang bukan Islam untuk menerima parti yang berasaskan agama ini dan memberi harapan kepada semua rakyat Malaysia bahawa perubahan itu bukan mustahil dan Malaysia sedang bergerak menuju ke arah sistem dua parti. Persoalannya sekarang, setelah tamatnya PRU13, adakah segelintir golongan dalam PAS ini akan memungkir janji yang dibuat kepada pengundi semasa PRU13 semata-mata untuk menunjukkan kekuasaan mereka kepada orang ramai?

Dalam kegelojohan mereka untuk menunjuk kuasa, terserlahlah kepincangan mereka apabila isu hudud ini dekupas dengan lebih lanjut. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, yang juga mengetuai Komiti Teknikal Hudud di Kelantan telah mencadangkan khidmat doktor dan pakar bedah dalam perlaksanaan aspek-aspek Hudud seperti hukuman potong tangan bagi pencuri. Sudah tentu, hal ini mendapat tentangan daripada Malaysian Medical Association (MMA) kerana ia jelas melanggar etika perubatan. Tugas doktor adalah untuk merawat dan bukannya untuk menghukum. Implikasi-implikasi yang akan timbul daripada tindakan ini juga tidak dibincang dengan teliti kerana ia akan menimbulkan banyak persoalan dan konflik seperti status mahkamah syariah dengan mahkamah sivil, implikasi terhadap rakyat bukan muslim, dan kemungkinan berlakunya macam-macam masalah praktikal dalam perlaksanaan hudud.

Sandiwara ini juga telah menunjukkan kepada umum betapa angkuhnya golongan ini kerana mengetepikan sebarang proses konsensus yang telah dipersetujui bersama rakan seperjuangan dalam PR dengan nekadnya mereka untuk melaksanakan Hudud secara bersendirian. Hal ini seperti mirip seakan UMNO yang sering mengetepikan rakan-rakan MCA, MIC dan lain-lain dalam Barisan National (BN). Janji-janji ditolak tepi asalkan agenda tersendiri dapat dilaksanakan. Terserlah bayangan UMNO dalam tindakan PAS ini yang membuat keputusan tanpa menghiraukan pendapat orang lain termasuk daripda rakyat yang meletakkan mereka di tampuk kuasa sekarang. Jika golongan dalam PAS ini terus berdegil untuk menunjuk kuasa, tidak lama lagi rakyat tentu akan melabel PAS sebagai UMNO 2.0.

Konklusinya, jelaslah bahawa isu hudud ini hanyalah sandiwara politik semata-mata. Ia bermula dengan UMNO bersetuju untuk menyokong PAS dalam perlaksanaan hukum hudud dan objektif di akhirnya ialah untuk menyaksikan kemusnahan PR oleh sebab pergeseran yang timbul akibat tindakan ini. Secara tak langsung, isu ini dijangka akan menimbulkan ketegangan antara muslim dan bukan muslim; satu senario yang diidamkan UMNO, sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan kononnya Islam. Nasihat saya untuk sesetengah golongan di dalam PAS yang rakus kuasa, pulanglah kepangkuan UMNO di mana anda semua diterima dengan hati terbuka. Pulanglah ke pangkuan Jamil Khir, Ridhuan Tee, ISMA, PERKASA dan lain-lain. Semoga dengan  berbuat demikian anda dianugerahkan kuasa yabf diidamkan dan PAS sekaligus PR menjadi lebih kukuh untuk masa depan.

* Rais Farisi adalah pemerhati politik Malaysia. Beliau mempercayai Malaysia dapat menerima manfaat daripada pengamalan sistem dua parti.

 



Comments
Loading...