Hudud, Pemilihan PKR dan Kekaburan Fokus Pakatan Rakyat
Secebis Kewarasan
Politik Pakatan Rakyat sedang bercelaru. PAS dan DAP kini berkelahi tentang Hudud. Manakala PKR, bertelagah sesama sendiri gara-gara Pemilihan parti. Fokus Pakatan Rakyat, iaitu membela kepentingan rakyat dan menekan kerajaan kearah pentadbiran efektif dan berdaya saing – terabai.
Hudud hanyalah sandiwara UMNO
Walaupun sudah lama dilagakan UMNO dengan sentimen-sentimen agama dan perkauman, PAS dan DAP masih tidak sedar bahawa Hudud hanyalah sekadar umpan bagi memecah-belahkan hubungan mereka. UMNO sendiri tentunya hairan – mengapa tektik ini masih menjadi? Walhal, ia telah pun di-recycle berkali-kali.
Pangkalnya, perselisihan PAS-DAP mengenai hudud berunsur sentimen. Tiada rasional akal dalam perselisihan sentimental. Apabila emosi dan perasaan mengatasi fikiran, adab dan tata susila tidak dipedulikan. Tujuan perbahasan bukan lagi menegakkan kebenaran, tetapi menyakiti lawan.
Sebenarnya, ramai di antara pimpinan PAS dan DAP yang sedar. Namun, sikap mereka yang bertelagah, iaitu keras kepala dan tidak mahu berkompromi, menyukarkan cadangan perdamaian. Nasihat akan dibalas makian dan label-label seperti ‘munafik’ atau penakut. Justeru, tiada siapa yang berani menegur pihaknya. Dalam PAS, tiada siapa yang berani membantah Hudud. Begitu juga DAP. Tiada siapa yang berani menyokong Hudud, termasuklah beberapa pemimpin beragama Islam-nya.
Ketahuilah, UMNO tidak pernah berhajat untuk melaksanakan Hudud. Jika ia inginkan Hudud, sudah terlaksana Hudud di Malaysia. Berdasarkan kecenderungan menggubal dasar negara sesuka hati tanpa penelitian rapi, seperti GST, atau untuk kepentingan sendiri, seperti dasar penswastaan – bukanlah menjadi masalah buat UMNO untuk memaksa penguatkuasaan Hudud kepada rakyat, jika ia mahu. Cuma, UMNO tidak berniat untuk mendirikan Hudud.
Ada di antara pemimpin PAS dan NGO yang melarang masyarakat dari mempersoalkan niat dan keikhlasan UMNO – kerana ianya urusan Tuhan, kata merka. Janganlah memperbodohkan agama dan rakyat begitu sekali. Dalam Hudud sendiri pun, hakim wajib menyiasat niat orang yang dituduh sebelum dijatuhkan hukuman. Tujuan sesuatu perbuatan jenayah, contohnya mencuri – wajib diteliti. Hukuman-nya tidak sama buat pengemis yang kebuluran, dari pemimpin yang menyonglap duit rakyat.
Oleh itu, pendirian UMNO yang tiba-tiba berpusing 180 darjah, dari anti kepada pro Hudud, wajib disiasat dengan cermat. Ajaib-lah jika niatnya berubah dengan drastik tanpa agenda dan kepentingan.
Bagi DAP – ketahuilah bahawa UMNO tidak mahukan Hudud, seperti atau lebih daripada DAP. Tidak usah panik. Bahkan, DAP berada pada kedudukan yang baik untuk menggertak dan membongkarkan percaturan politik murahan UMNO. DAP boleh bersandiwara menyokong Hudud dan tunggu reaksi UMNO. Apabila UMNO cuba berdalih, DAP boleh menuding jari, memperlihatkan ‘kemunafikan’ UMNO tersebut.
Hakikatnya – seperti sentimen agama dan perkauman lain, Hudud hanyalah alat UMNO bagi menjalankan dasar ‘pecah dan perintah’ yang diwarisinya daripada penjajah. Masyarakat dilaga-lagakan supaya berpecah-belah. Masyarakat yang berpecah-belah akan lemah dan tiada upaya untuk menentang penyelewengan pemerintah. Maka, mudahlah mereka menyamun harta negara. ‘Pecah dan perintah’ 101. Klasik!
Hakikat seterusnya – masyarakat masih tidak memahami dan belum bersedia untuk menerima Hudud. Prejudis antara agama hasil hasutan pemimpin-pemimpin politik dan pertubuhan berkaitan agama juga tidak membantu. PAS sendiri, tidak menunjukkan kesungguhan untuk menjelaskan Hudud – inikan pula melaksanakannya dengan adil dan berkesan.