KENAIKAN ROYALTI MINYAK: MEMAHAMI ASPIRASI RAKYAT SABAH DAN SARAWAK
Salleh Said Keruak
SEJAK menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, saya sentiasa menghadiri jemputan rakan sejawatan saya Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, bagi istiadat perasmian persidangan DUN negeri itu.
Pada 5 Mei lalu pun, saya hadir bersama Timbalan Speaker DUN Datuk Johnny Mositun ke istiadat perasmian persidangan DUN Sarawak.
Kali ini amat menarik kerana persidangan dirasmikan oleh TYT Sarawak yang baru, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan kerajaan negeri pula dipimpin oleh Ketua Menteri yang baru, Tan Sri Adenan Satem.
Majlis amat menarik dan penuh istiadat. Ketika jamuan tengah hari, saya duduk di meja utama bersama-sama TYT, Ketua Menteri, Speaker dan seorang Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu. Kami bersembang dan berbual. Cukup mesra. Apatah lagi semua mereka yang duduk semeja adalah kenalan saya secara peribadi.
Apa yang saya perhatikan, pimpinan kerajaan Sarawak komited dan sepakat dalam semua perkara, termasuk berkaitan pentadbiran.
Ini dapat dilihat menerusi peralihan kuasa dan kepimpinan yang saya kira begitu menarik dan sungguh teratur. Pemimpin-pemimpin BN Sarawak mengutamakan kepentingan rakyat Sarawak dan sentiasa bersatu dalam isu-isu melibatkan hak dan kepentingan Sarawak.
Mereka mengamalkan politik pembangunan hasil perjuangan Pehin Sri Taib. Mereka turut mengamalkan pendekatan perundingan atau musyawarah dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan hak Sarawak serta hubungan antara negeri-Pusat.
Demikianlah yang berlaku dalam persidangan DUN Sarawak kali ini. Usul mengenai isu royalti minyak untuk Sarawak diluluskan sebulat suara dan disokong semua pihak, termasuk pembangkang pada Selasa lepas.
Usul itu antara lain memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti minyak dan gas kepada Sarawak daripada lima peratus sekarang kepada 20 peratus.
Ia dibentang Abdullah Saidol (BN-Semop) dan mendapat sokongan sebulat suara daripada 68 anggota dewan yang hadir.
Ketika membentangkan usul tersebut, Abdullah berkata semakan semula bayaran royalti itu akan membolehkan negeri ini mendapat hasil tambahan untuk disalurkan secara khusus bagi melaksanakan pembangunan luar bandar.