Setahun berlalu: Adakah strategi BN, Umno masih relevan (Siri 1)


Nur Jazlan Mohamed

Datuk Nur Jazlan Mohamed

“Zaman di mana kerajaan sudah mengetahui segalanya sudah berakhir dan kita perlu mendengar apa yang dimahukan rakyat”, itu adalah antara ungkapan yang sering kita dengar daripada pimpinan tertinggi negara sejak kebelakangan ini.

Namun, adakah ungkapan itu benar-benar dipraktikkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah menyambut ulang tahun pertama pemerintahan selepas berjaya membentuk kerajaan apabila menang 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pada 5 Mei 2013.

Mahu tidak mahu, kerajaan BN perlu mengakui usaha untuk melaksanakan segala janji atau dasar yang dapat menggembirakan rakyat amat jauh dan ketidaksungguhan itu, sebenarnya akan menjadi kelebihan kepada pembangkang yang berterusan mengimpikan untuk menerajui Putrajaya pada PRU 14 nanti.Kenaikan kos sara hidup yang tinggi, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta tanggapan kerajaan BN tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah adalah antara isu yang terus menghantui pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun, selepas setahun PRU13, pakatan pembangkang kini, berada dalam ambang perpecahan apabila PAS mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kerajaan BN tidak boleh memeluk tubuh dan tersenyum yakin ‘musuh’ mereka akan tumpas menjelang PRU 14.

‘Musuh’ sebenar kerajaan BN ketika ini, adalah rakyat terutama sekali golongan pertengahan yang tinggal di kawasan bandar serta pinggir bandar dan akan membentuk komposisi pengundi paling besar dalam PRU14 nanti.

BN dan Umno perlu segera melihat kepada apa yang berlaku di negara jiran di utara tanah air ketika ini, di mana kerajaan yang dipilih rakyat hancur sama sekali disebabkan campur  tangan daripada golongan yang tidak terbabit secara langsung dalam pilihan raya.

Semangat demokrasi di Thailand hilang, apabila kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi pilihan raya akibat campur tangan daripada NGO, tentera, kakitangan kerajaan dan mahkamah mengakibatkan negara berkenaan terus berada dalam ketidakstabilan.

Senario inilah yang perlu ditakuti BN dan Umno kerana strategi ini sedang dan akan diterapkan golongan tertentu bagi membangkitkan rasa ketidakpuashatian majoriti rakyat terutama sekali di kawasan bandar serta pinggir bandar kepada kerajaan.

Dan ia sudah dibuktikan dalam PRU13 lalu, apabila BN terutama sekali Umno terus gagal menawan hati pengundi kawasan bandar serta pinggir bandar yang dilihat semakin menjauhi parti dan ia bukan hanya terjadi di Kuala Lumpur tetapi di semua bandar besar termasuk Sabah dan Sarawak.

Umno sebagai tulang belakang kepada BN perlu segera sedar strateginya untuk terus mempertahankan kerusi luar bandar akan terjejas berikutan proses migrasi ini, dengan perubahan daripada segi demografi orang Melayu dari luar bandar ke pinggir bandar dan bandar.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...