Tangguh undi semula, tarikh belum ditetap


Johari Abdul

(Sinar Harian) – Pengundian semula 27 cabang dalam Pemilihan PKR yang dijangka berjalan esok ditangguhkan sehingga semua masalah berbangkit selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP), Datuk Johari Abdul berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan berhubung tarikh bagi proses pemilihan semula.

Menurutnya, pihaknya perlu mengemas kini semua  maklumat terkini sebelum pemilihan semula dapat diadakan.

“Kita tidak boleh buat pemilihan Sabtu ini kerana ada maklumat yang belum kita periksa sepenuhnya. Oleh demikian, pemilihan semula PKR seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak terpaksa ditangguhkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sehingga pemilihan pusingan terakhir PKR di seluruh negara berlangsung 11 Mei lalu, sebanyak 27 daripada 198 Cabang seluruh negara diminta mengundi semula termasuk 10 Cabang di negeri Selangor.

Sebelum ini, JPP menetapkan 17 Mei ini untuk mengadakan pemilihan semula bagi peringkat Cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), yang melibatkan Setiu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Paya Besar, Nibong Tebal, Jerantut, Batang Sadong, Kapit, Pengerang, Tenggara, Tenom dan Keningau.

Empat lagi kawasan terlibat Bukit Katil, Tawau, Papar dan Sungai Petani.

Pada pemilihan PKR peringkat negeri Selangor, JPP membuat keputusan 10 Cabang iaitu  Hulu Langat, Sabak Bernam, Sungai Besar, Subang, Klang, Selayang, Kota Raja, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kapar perlu membuat pemilihan semula menjadikan jumlah keseluruhan 27 Cabang seluruh negara.

Mengulas mengenai kekecohan yang berlaku sewaktu pemilihan PKR di Selangor pada 11 Mei lalu, Johari menafikan penglibatan ahli PKR yang mencetuskan huru-hara semasa pemilihan diadakan.

“Insiden yang berlaku itu berpunca dari samseng-samseng yang cuba mengganggu perjalanan sepanjang proses pengundian diadakan.

“Pihak kami tidak pernah gentar dengan gangguan luar sepanjang proses pengundian berjalan dan berharap insiden kekecohan seperti yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang,” katanya.



Comments
Loading...