ISMA: Melayu kaum paling bertolak ansur


460bc__nY5CupWtiL3otgabkO86zDNL7IJ98Dx33dzf9mKC5JK0H4pZj29wHO_c5aQeLXw59Hj-s1G1qKkiDuf7IG25=s0

(Online Metro) – Senarai kesalahan yang didakwa dilakukan oleh golongan bukan Melayu itu menunjukkan bahawa tiada kaum yang lebih bertoleransi berbanding kaum Melayu.

NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) hari ini cuba menangkis kritikan meluas selepas presidennya menggelar kaum bukan Melayu sebagai penceroboh dengan membangkitkan kesalahan yang didakwa dilakukan oleh golongan tersebut.

Timbalan presiden ISMA Aminuddin Yahaya juga berkata, golongan bukan Melayu itu tidak seharusnya “melompat-lompat seperti katak kepanasan” hanya kerana istilah “penceroboh” dalam kenyataan presidennya.

Katanya, senarai kesalahan yang didakwa dilakukan oleh golongan bukan Melayu itu menunjukkan  bahawa tiada kaum yang lebih bertoleransi berbanding kaum Melayu.

“Adakah satu kalimah yang hanya sekadar mempertahankan diri boleh dianggap rasis dan menghasut?

“Adakah adil mereka dibiarkan mengguris hati orang Melayu Islam saban malam sedangkan orang Melayu Islam tidak boleh berbuat apa-apa?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kalimah” yang disebut oleh Aminuddin itu merujuk kepada istilah “”penceroboh” dalam kenyatan presidennya Abdullah Zaik Abdul Rahman, awal bulan ini untuk merujuk kepada bukan Melayu.

Abdullah Zaik kini disiasat mengikut Akta Hasutan ekoran kenyataannya yang turut mendakwa kaum Cina di Malaysia “membuli orang Melayu”.

Dalam kenyataannya hari ini, Aminuddin berkata sejarah membuktikan Melayu adalah kaum yang begitu bertolak ansur di dunia kerana 980,000 bangsa Cina dan India secara en-bloc diberikan kerakyatan percuma oleh kerajaan.

Beliau juga mendakwa kerajaan ketika itu memberikan mereka 10 ekar tanah secara percuma tetapi beliau tidak mengemukakan bukti berhubung perkara itu.

Tak pernah menentang

Aminuddin menegaskan orang Melayu tidak pernah menentang hak agama lain dan kemewahan yang diperolehi.

Malah, katanya, orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dan memberikan pelbagai kemudahan kepada bangsa lain.

“Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai begitu banyak cuti demi merayakan pelbagai perayaan agama lain. Malaysia juga satu-satunya negara yang mempunyai pelbagai aliran sekolah mengikut bangsa.

“Ringkasnya orang Melayu bukanlah satu bangsa yang suka mencari pergaduhan tetapi sangat cinta pada perdamaian jauh sekali rasis,” katanya.

Namun, beliau mendakwa kebaikan orang Melayu telah diambil kesempatan oleh bangsa lain yang didakwanya cuba mempertikaikan hak orang Melayu, perlembagaan negara dan kemuliaan agama Islam

Antara kesalahan yang didakwa dilakukan ialah cubaan untuk menghapuskan identiti bangsa Melayu atas alasan keadilan dan hak sama rata, menghina institusi raja, menentang pelaksanaan hudud, menuntut institusi khusus orang Melayu dibuka kepada bangsa lain, dan mempertahankan sekolah vernakular yang mengasingkan kaum kaum.

“Pendek kata saya boleh senaraikan banyak lagi tindakan bangsa lain yang chauvinis ini yang telah mengguriskan hati orang Melayu selama bertahun-tahun, tetapi orang Melayu hadapi dengan penuh kesabaran demi menjaga keharmonian kaum,” katanya.

Aminuddin berkata kenyataan yang dibuat oleh Melayu Islam hanyalah sebagai respon kepada tindakan bangsa lain yang chauvinis

“Merekalah yang mula dahulu. Saya amat yakin jika bangsa lain berhenti mengguris hati orang Melayu Islam, maka nescaya orang Melayu Islam, tidak akan bertindak balas,” katanya.



Comments
Loading...