Bank Rakyat Dan Perayau Koridor Kuasa


kadir_jasin

A Kadir Jasin

APABILA seorang perwakilan Sidang Kedai Kopi (KKA) bertanya sama ada saya akan mengulas pendedahan bekas Pengerusi Bank Rakyat, (Tan Sri) Sabaruddin Chik, mengenai pinjaman kepada seorang usahawan keturunan India, ingatan saya kembali kepada dua peristiwa silam.

Mengenai dakwaan Sabaruddin, ia tidak banyak dilaporkan oleh media arus perdana. Sekali lagi rakyat jelata yang berminat terpaksa bergantung kepada media atas talian (baca di sini).

Berkenaan peristiwa silam yang saya katakan di atas, yang pertama berlaku sewaktu saya menjadi wartawan ekonomi di Bernama pada tahun 1976. Ia berkaitan krisis (Datuk) Harun Idris. Kedua ketika menjadi pengarang New Straits Times pada tahun 1990. Ia berkaitan penarikan diri parti PBS daripada BN beberapa hari sebelum pengundian PRU 1990.

Kes mahkamah dan krisis politik Harun yang membabitkan tuduhan salah guna kuasa oleh beliau selaku pengerusi Bank Rakyat berlaku pada zaman (Tun) Abdul Razak dan diambil tindakan oleh (Tun) Hussein apabila Abdul Razak meninggal dunia.

Dakwaan salah guna kuasa di Bank Rakyat yang melibatkan pinjaman kepada peniaga permaidani bernama Deepak Jaikishan berlaku pada zaman anak Abdul Razak.

Tauke Permaidani Deepak Jaikishan

Soalnya, adakah beliau peduli dakwaan ini dan seterusnya mengambil tindakan membersihkan mana kerajaan pimpinannya atau, seperti bapanya, beliau akan membiarkannya sehingga orang lain (atau kerajaan lain) mengambil alih?

Krisis Harun tidak sama dengan dakwaan Sabaruddin terhadap Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Hasan Malek dan Deepak.

Hasan Malek singkir Sabaruddin?

Harun, seorang peguam dan wira Melayu/Umno, tersilap langkah “menggunakan” aset Bank Rakyat untuk menaja pertandingan tinju antarabangsa di Kuala Lumpur antara Mohamad Ali dan Joe Bugner pada tahun 1975. Pertandingan itu memperkenalkan nama Malaysia kepada dunia sukan dunia.

Ali Lwn Bugner Perkenal Malaysia

Perayau Koridor Kuasa

Deepak yang sangat kontroversial itu tidak menaja apa-apa. Kalau ada pun tajaan, ia mungkin berbentuk peribadi atau tidak dihebahkan.

Deepak, mengikut para nujum daun teh, bomoh guna-gunaan dan pawang buaya tersohor, adalah anggota (atau bekas anggota) satu kumpulan usahawan luar biasa yang bebas keluar masuk koridor kuasa.

Tetapi beliau bukanlah ke keseorangan. Ramai lagi perayau-perayu korporat di koridor kuasa. Ada yang kerana kecekapan korporat dan ada juga kerana mereka memegang kunci azimat ala “niat enson matakaji Semar ngiseng” seperti dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.

Laporan media massa menggambarkan beliau sebagai usahawan permaidani dan hartanah. Saya tidak kenal beliau jadi tidak layak menulis mengenainya. Kalau pembaca berminat bolehlah buat carian atas talian, misalnya dengan menaip “who is Deepak Jaikishan?”

Saya tidak hairan atau berasa yang dakwaan Sabaruddin itu terlalu mengejutkan. Ia mungkin kontroversial tetapi tidaklah besar nilai mata wangnya – sekitar RM30 juta dan RM40 juta saja.

Ada banyak lagi pinjaman raksasa ratusan juta, penjualan aset dan penggabungan korporat yang lebih besar, lebih kontroversial dan lebih berbahaya kepada ekonomi negara yang berlaku kerana ada orang berkuasa mengenyitkan mata.

Saya tidak akan mendedahkannya kerana beberapa pihak yang terlibat dengan urus niaga itu telah mengambil tindakan undang-undang ke atas saya dan agen-agen saya atau mengancam untuk melakukannya.

Saya mohon para pembahas berhati-hati. Saya tidak ada kemampuan guaman dan kewangan itu menanggung saman dan ancaman undang-undang oleh “juggarnaut” korporat yang luar biasa ini.

Mana-mana orang atau pihak yang faham ekonomi, perbankan dan korporat akan berasa sangat bimbang dengan sesetengah urus niaga yang mendapat petunjuk, wahyu dan kenyitan dari atas ini.

Hatta seorang pengurus kanan Khazanah Nasional Berhad pernah menuding jarinya ke atas apabila saya mengasak dan menggasak beliau mengenai satu urusan penggabungan dan pengambilan alih korporat (M&A) berbilion ringgit yang membabitkan sebuah anak syarikat Khazanah dan sebuah syarikat hartanah milik seorang tauke Cina tempatan.

Protes saya itu akhirnya terbukti apabila tauke era Anwar Ibrahim yang terbabit dengan M&A itu akhir mengundurkan diri setelah mendapat harga lumayan untuk syarikatnya.

Kes mahkamah dan krisis politik Harun yang membabitkan tuduhan salah guna kuasa oleh beliau selaku pengerusi Bank Rakyat berlaku pada zaman (Tun) Abdul Razak dan diambil tindakan oleh (Tun) Hussein apabila Abdul Razak meninggal dunia.

Dakwaan salah guna kuasa di Bank Rakyat yang melibatkan pinjaman kepada peniaga permaidani bernama Deepak Jaikishan berlaku pada zaman anak Abdul Razak.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...