Mengapa Orang Cina Pula Dimusuhi?
Berbagai gelaran diberikan kepada kaum bukan Melayu. Dan persoalannya ialah apakah akan maju dan berjaya orang Melayu dengan melaungkan ‘cogan-kata’ berkenaan?
Abu Hassan Adam
Aku tidak faham dan ‘bingung’. Seolah-olah telah wujud satu teori yang mengatakan bahawa orang Melayu mesti memiliki perasaan perkauman dan memusuhi golongan bukan Melayu di Malaysia supaya orang Melayu boleh maju. Seolah-olah semacam begitu pemahaman sebilangan kecil penduduk Malaysia yang menggelarkan diri mereka sebagai penganut Islam sejati sedangkan Rasullullah tidak pula pernah mengajar pengikutnya supaya membenci antara satu sama lain.
Seolah-olah golongan ini sentiasa mencari kesalahan orang lain untuk meyakinkan tohmahan mereka bahawa sememangnya orang Cina yang menyebabkan orang Melayu mundur. Seolah-olah golongan bukan Melayu (Cina khususnya) yang mesti dipersalahkan yang menyebabkan orang Melayu masih mundur, masih berpendapatan rendah, masih mengharapkan bantuan dan subsidi dari kerajaan, masih mengharapkan belas dan ikhsan dari orang lain sebagai bayaran menjadi ‘tentera upahan’.
Aku agak sedih mengenangkan keadaan orang Melayu yang sebegini, walaupun sudah ramai orang Melayu yang tidak berperangai sedemikian lagi. Maknanya aku sedih melihat ‘saudara-mara’ aku yang masih bersikap demikian. Aku sedih melihat bahawa masih ramai orang Melayu di negara ini yang tidak mengikut ‘rentak’ dan ‘tari’ bangsa-bangsa lain yang jauh lebih maju dari bangsa Melayu.
Tidak dapat dinafikan bahawa orang Cina jauh lebih maju dari orang Melayu ditinjau dari sudut mana sekalipun. Namun apakah terpaksa kita memusuhi mereka disebabkan mereka berjaya di negara Malaysia ini. Apakah golongan bukan Melayu yang mahu dipersalahkan yang menyebabkan orang Melayu tidak sehebat kaum lain di negara ini?
Aku masih merasakan bahawa sudah sampai masanya orang Melayu perlu mengkritik diri sendiri. Orang Melayu hendaknya jangan leka dan khayal apabila ada pihak tertentu memuji kita. Walau diukur dari segi manapun orang Melayu masih mundur, berbanding dengan pencapaian orang lain. Lihatlah keputusan peperiksaan awam yang dikeluarkan pada setiap tahun yang jelas menunjukkan bahawa pelajar Melayu memang berada dibelakang. Tidak pula aku mahu menafikan tentang kehebatan setengah pelajar kita. Ada. Tetapi tidak seramai pelajar bukan Melayu. Bukan tidak ada pelajar Melayu yang boleh mendapat markah cemerlang. Maknanya orang Melayu boleh maju sepertimana yang dimiliki oleh bangsa lain di Malaysia. Soalnya mengapa orang Melayu masih ketinggalan.
Pihak tertentu masih melaungkan ‘cogan-cogan kata’ yang akhirnya membawa kelemahan kepada orang Melayu. Selama mana kita mahu bersandar kepada konsep ‘ketuanan Melayu’ sedangkan orang Melayu jauh lebih mundur dari kaum lain di negara ini. Kita masih terpekik dan terlolong mengatakan bahawa kaum Cina adalah ‘pendatang’ dan ‘penceroboh’. Berbagai gelaran diberikan kepada kaum bukan Melayu. Dan persoalannya ialah apakah akan maju dan berjaya orang Melayu dengan melaungkan ‘cogan-kata’ berkenaan?
Untuk apa kita (orang Melayu) mengungkit-ungkit kenyataan sedemikian. Perlembagaan telah menetapkan bahawa tiga kaum terbesar dan kaum-kaum lain adalah merupakan rakyat Malaysia yang sah. Termaktub dan jelas dalam perlembagaan Malaysia. Mereka bukan ‘pendatang’ dan ‘bukan penceroboh’. Mereka adalah rakyat Malaysia yang sah. Bangsa Malaysia.
Dan terfikir juga aku bahawa, apakah dengan memekikkan ‘slogan-slogan’ demikian dapat mengubah kedudukan orang Melayu yang masih mundur ini. Aku merasakan bahawa sudah sampai masanya orang Melayu itu sendiri mengenang dan mengenal siapa dirinya yang sebenar. Orang Melayu kini memang sudah maju jika dibandingkan dengan orang Melayu sebelum merdeka. Tetapi orang Melayu masih mundur berbanding dengan bangsa lain yang telah maju kini.
Read more at: http://abuhassanadam.blogspot.com/2014/06/zaba-tidak-pernah-membenciorang-cina.html