PKR terus kalut
Lisa Adam, FMT
Malang dan terus malang. Pemilihan dalaman yang tunggang-langgang, politik wang yang ternyata masih dipraktikkan , penyokong parti yang tindak-tanduknya seperti samseng, dakwaan dari ahli parti sendiri bahawa terdapat penipuan dalam proses pemilihan parti dan juga isu-isu di Selangor yang tidak berkesudahan. Berapa lama parti yang masih muda jika dibandingkan dengan DAP dan PAS ini dapat bertahan?
Kata orang, elok untuk belajar dari sejarah supaya kesilapan yang sama tidak berulang, namun PKR nampaknya gagal menjadi semakin baik, malah kian membobrok.
Menuduh Umno/BN sekian lama menggunakan wang bagi meneruskan pengaruh politik mereka, apa kurangnya PKR. Jangan bercakap mengenai pilihan raya kecil, pemilihan dalaman parti sendiri dicemari budaya politik wang bila satu-satu nama besar calon dalam pemilihan tersebut didakwa memberikan imbuhan kepada perwakilan bagi memastikan mereka terus berada dalam tampuk tertinggi parti. Sama ada ini cara mudah bagi merebut jawatan atau calon-calon ini meragui kemampuan mereka untuk bersaing secara sihat hanya boleh dijawab oleh mereka sendiri.
Bila ada yang bersuara mempersoal ketelusan parti seperti Chegu Bard, maka tindakan parti sudah dijangka. Puan Presiden parti mengatakan bahawa tindakan penggantungan Chegu Bard serta beberapa ahli lain adalah penting bagi memastikan imej PKR sebagai parti yang telus dapat dikekalkan. Apa pula tindakan Puan Presiden terhadap petugas JPP yang didakwa menjadi agen kepada Azmin Ali? Tidakkah terfikir dek pemimpin atasan, ahli parti sudah muak melihat parti itu dipergunakan oleh individu-individu tertentu dan menyimpang dari prinsip-prinsip yang menjadi kebanggaan parti selama ini.
Itu belum lagi dengan masalah PKR di Selangor. Dari masalah air, KIDEX dan terbaru JAIS, isu-isu ini memperlihatkan sisi buruk PKR dalam urusan pentadbiran.
PKR memang hebat dalam membangkitkan sentimen kebencian dalam hati rakyat. Sudah lumrah manusia tidak akan pernah puas hati dan pasti ada saja yang tidak kena di mata tidak berkenan di hati. Setiap individu punya kehendak dan kemahuan yang berbeza dan PKR mempergunakan peluang ini untuk menanam benih kebencian sehingga banyak yang ‘buta’ terhadap semua yang telah dikecapi sebelum ini.
Kenyataannya, PKR masih terkapai-kapai melaksanakan janji-janjinya dan lihatlah keadaan dalam parti itu sendiri. Ia umpama bom jangka yang bakal meledak dari dalam.
Rakyat mengharapkan barisan pembangkang yang ‘kuat’ bagi mengekalkan keseimbangan dalam politik Malaysia, rakyat juga mengharapkan barisan pembangkang yang telus serta berbeza dari yang sedia ada supaya keluhan dan suara rakyat dapat didengar dan sampai kepada yang sepatutnya.
Namun apa yang selama ini rakyat perolehi dari PKR mungkin hanya wakil rakyat yang tenggelam timbul, perjuangan untuk Anwar kekal relevan, peluang untuk menyertai demonstrasi, pergolakan parti yang tidak berkesudahan serta masalah-masalah seperti di Selangor yang selama ini tidak pernah timbul.
Jika pembangkang sendiri berada dalam keadaan kucar-kacir, bercakaran sesama sendiri, tidak telus serta hangat-hangat tahi ayam, bagaimana mereka ini mahu menjadi harapan baru rakyat? Perlukah ada perubahan sekiranya jalan yang ada adalah keluar dari mulut buaya, masuk ke mulut naga?