Zahid panggil Ketua Pengarah JPN bincang isu Zarena


DATUK SERI AHMAD ZAHID HAMIDI

Faida Rahim, FMT

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah meneliti laporan yang dikemukakan Jabatan Pendaftaran dan juga keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

“Kita akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara, sama ada kita mahu menerima permintaan daripada Zarena Abdul Majid untuk menukar agama dan Jabatan Pendaftaran Negara akan bertindak secara profesional jika permohonan itu diterima atau ditolak.

“Sebagai sebuah jabatan kerajaan, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga sensitiviti agama dan bangsa, kita akan ikut nasihat-nasihat dari segi perundangan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Kalau ibu dan ayah dia bukan orang Islam tentu itu lebih mudah. Tentunya Jabatan Pendaftaran Negara meneliti semula permohonan berkenaan.

“Saya ada salinan permohonan itu dan saya akan memanggil Ketua Pengarah JPN dan pegawai-pegawai kanan untuk menentukan status permohonan berkenaan,” kata beliau yang ditemui di majlis perasmian Tabuan Motor di Cheras.

Majlis perkahwinan Zarena Abdul Hamid yang berlangsung di sebuah kuil hindu di Shah Alam, Ahad lepas, diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Zarena mendakwa bahawa bapanya telah mendaftarkannya sebagai seorang Muslim ketika dia masih kecil tetapi dia telah dibesarkan sebagai seorang penganut Hindu oleh ibunya.

Zarena mendakwa bahawa ayahnya, yang dikenali sebagai Mahendran telah memeluk agama Islam dan menggunakan nama Abdul Majid tanpa pengetahuan keluarga.

Kes Zarena mula mendapat perhatian umum apabila permohonan beliau untuk menukar agama pada MyKad tujuh tahun lalu ditolak kerana tidak mempunyai dokumen sokongan daripada bapanya.



Comments
Loading...