LPHJ bermula suku pertama tahun depan


khalid nordin 1

(Sinar Harian) – Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang diluluskan rang undang-undang penubuhannya oleh Dewan Undangan Negeri di sini hari ini dijangka memulakan fungsinya pada suku pertama tahun hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membayangkan bahawa, pemilihan sumber tenaga manusia bagi lembaga itu akan memberikan satu cabaran yang amat besar kepada kerajaan negeri.

“Suku pertama tahun depan. We have to get the right human resource, get the right CEO…it is a very challenging task, (Kita perlu dapatkan sumber manusia yang betul, dapatkan CEO yang betul…ia tugas amat mencabar),” katanya pada sidang akhbar selepas itu.

Ditanya sama ada ahli-ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif itu nanti akan terdiri daripada rakyat negeri ini, Mohamed Khaled berkata, ia masih awal baginya menjawab soalan itu kerana rang undang-undang LPHJ itu baharu sahaja diluluskan.

Rang undang-undang tersebut telah diluluskan dengan 10 pindaan terhadap lapan fasal.

Pindaan rang undang-undang berkenaan antaranya membabitkan Fasal 4 (3) Keanggotaan Lembaga iaitu ahli-ahli lembaga boleh dibayar saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Raja, dipinda kepada ahli-ahli lembaga boleh dibayar saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Pindaan lain adalah membabitkan Fasal 12 (2) Pelantikan Pengarah, Pegawai dan Pekhidmat iaitu pelantikan Pengarah hendaklah dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja, yang dipinda kepada segala pelantikan Pengarah hendaklah dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja atas nasihat Menteri Besar.

Kerajaan negeri katanya berharap tiada lagi mana-mana pihak yang meragui atau berasa sangsi dengan usaha menubuhkan LPHJ itu kerana ia jelas mendukung dan mempertahankan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan selama ini.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...