Keluhan Rakyat Johor Mula Mendapat Perhatian


Johor

Secebis Kewarasan

Rang undang-undang (RUU) penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ), yang membuka jalan kepada penglibatan Sultan Johor dalam pentadbiran negeri, telah pun diluluskan (semalam).

Menjelang pembentangan RUU tersebut, hingga ke hari ini, isu penglibatan Istana dalam pentadbiran Negeri, hangat dibincangkan. Ia dicetuskan oleh kebimbangan Tun Mahathir akan kemungkinan terdedahnya institusi Raja kepada kritikan. Beliau juga khuatir akan kemampuan Menteri Besar Johor menasihati sultannya. Luahan rasa yang penuh sopan itu disambut oleh media-media perdana seperti Utusan Malaysia dengan menyiarkan artikel-artikel yang intipatinya sama seperti pandangan Tun Mahathir.

Lain pula di media alternatif; blog dan laman sosial. Isu tersebut dikupas dengan lebih terbuka,merangkumi pelbagai aspek, dari keluhuran perlembagaan, keberkesanan dasar, hingga ke kemampuan Sultan dalam pentadbiran. Ada pula yang menyingkap kembali kisah silam Istana bagi meramal keberkesanan dasar tersebut.

Menarik apabila melihat reaksi pemimpin-pemimpin politik. Mereka mengambil jalan selamat dengan memberi kenyataan non-partisan. Selain dari timbalan presiden PAS, tiada seorang pun yang berani kehadapan untuk membantah atau menyokong RUU tersebut secara terbuka.

Dalam kehangatan perbincangan nasional yang seperti biasa; hanya sekadar hangat dan tidak memberi impak (RUU itu diluluskan juga dengan beberapa pindaan) – terdapat kebaikkan yang tidak mungkin lahir tanpa isu RUU tersebut. Keluhan rakyat Johor yang saban hari hilang hak milik hartanah akibat pembanggunan Wilayah Pembanggunan Iskandar (WPI) – mula mendapat perhatian.

Merempat di negeri sendiri

Sudahlah prestasi pasukan bolasepak JDT yang diharapkan memberi sedikit kegembiraan ‘biasa-biasa’ sahaja, rakyat Johor sedang kehilangan tanah tumpah darah mereka. Tanah-tanah pusaka diambil kerajaan dan diberikan kepada pemaju-pemaju WPI. Pampasan yang diberikan hanya mampu bertahan, maksima, untuk tempoh satu generasi. Pemaju-pemaju WPI pula membangunkan perumahan eksklusif yang hanya mampu dimiliki oleh segelintir golongan kapitalis tempatan, dan warga asing, bukannya majoriti rakyat Johor. Rumah mampu milik yang dijanjikan kerajaan dibangunkan secara sambil lewa. Kuantitinya pula dirisaukan tidak mampu menampung pertambahan populasi.

Kenaikkan kos sara hidup dan inflasi memburukkan lagi keadaan. Duit hasil perhambaan diri, walau di Singapura sekali pun, tidak mencukupi untuk mengimbangi kenaikkan sewa rumah, kos pengangkutan, makanan dan sebagainya. Akhirnya, kehidupan mereka bertambah susah, sedangkan tanah sudah pun tergadai. Hidup mereka  ibarat merempat di negeri sendiri.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...