Malaysia bukan negara sekular, kata Jamil Khir
Perkara 3 perlembagaan persekutuan yang jelas menyatakan agama Islam adalah agama bagi persekutuan
Adam Abu Bakar, Free Malaysia Today
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan bahawa Malaysia bukan negara sekular.
Menurutnya, hal ini adalah berdasarkan fakta sejarah yang menunjukkan bahawa Malaysia telah ditubuhkan berasaskan Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-Raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.
“Hal ini diperkukuhkan dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan,” katanya.
Jamil Khir berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan ahli parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew yang meminta beliau menjelaskan sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular atau negara Islam.
Kata Jamil lagi, perkara ini telah dizahirkan dengan adanya peruntukan-peruntukan seperti yang dinyatakan dalam Fasal (4) Perkara 11 berkenaan dengan penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan penganut agama Islam oleh undang-undang negeri atau persekutuan.
Selain itu, dalam Fasal (2) Perkara 12 tentang hak berkenaan dengan pendidikan, di mana sah bagi persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan, menyenggarakan, membantu dalam menubuhkan, menyenggarakan institusi Islam atau mengadakan, membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu.
“Jelas, kedudukan ini berbeza dengan negara sekular yang tidak menetapkan sesuatu agama sebagai agama negara tetapi rakyatnya dibenarkan untuk mengamalkan agama mereka masing-masing.
“Agama mereka adalah terpisah dan merupakan amalan peribadi masing-masing,” katanya.