Azmin Ali Diperintah Keluar Dewan


azmin ali

(Bernama) – Anggota Parlimen pembangkang Azmin Ali (PKR-Gombak) diperintah keluar daripada Dewan Rakyat hari ini selepas mengingkari arahan Timbalan Yang Dipertua Datuk Ronald Kiandee untuk menarik balik perkataan “hodoh” yang dilemparkan kepada seorang anggota Parlimen yang lain.

Azmin didakwa mencemuh Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dengan berkata “Jadi Menteri tetapi Perangai Hodoh” ketika dewan kecoh apabila anggota Parlimen pembangkang itu mempersoal keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan usul menggantung Anggota Parlimen Padang Serai N.Surendran daripada menghadiri persidangan untuk dibahaskan.

Usul itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3), yang membawa usul menggantung Surendran selama enam bulan daripada tarikh keputusan usul itu diluluskan.

Kiandee berkata perkataan “hodoh” yang disebut oleh Azmin adalah melanggar Peraturan Mesyuarat.

“Walaupun saya tidak mendengar perkataan itu digunakan, namun ia disahkan oleh Yang Berhormat Shah Alam tentang penggunaan perkataan hodoh itu,” katanya.

Azmin kemudiannya mencabar Kiandee untuk memberi penjelasan serta justifikasi bagaimana beliau boleh mengeluarkan arahan itu dengan hanya mendengar penjelasan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam).

Pada masa yang sama, Anggota Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta Tajuddin untuk menarik perkataan ‘liar’ yang dilemparkan kepada Azmin.

Tajuddin menarik balik perkataan itu selepas diarahkan oleh Kiandee.

Azmin adalah Anggota Parlimen pembangkang yang ketiga diarah keluar daripada menghadiri persidangan selepas Surendran dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) Selasa lalu.



Comments
Loading...