Hentikan Politik Populis, Utamakan Politik Rakyat
Kehadiran beratus-ratus hatta berjuta rakyat sekalipun ke mana-mana demonstrasi bukannya bererti bahawa pemimpin itu seorang pemimpin yang mampu bekerja tetapi itu adalah petanda bahawa pemimpin itu adalah pemimpin populis yang bijak manipulasi rakyat untuk survival politiknya.
Edwin Michael
Sejak kebelakangan ini semacam sindrom dalam kalangan pemimpin politik apabila sering kali suka mengungkitkan sesuatu isu nasional semata-mata untuk meraih populariti. Apa yang menariknya, pemimpin politik ini kelihatan begitu lantang dalam bersuara melibatkan isu-isu nasional sedangkan hakikatnya kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka naungi itu sendiri belum tentu terjaga dengan baiknya.
Politik popular ini hakikatnya tidak mewujudkan integrasi dalam konteks politik rasmi serta tidak juga mewujudkan pendekatan kepada peringkat akar umbi sebaliknya politik popular ini lebih kepada usaha sang politikus untuk mencipta identiti politik mereka dengan cara yang mudah iaitu melariskan isu nasional melalui media. Atau dalam kata lain memperguna media untuk kepentingan diri sendiri.
Pendefinisian dan peralihan konsep pemahaman politik melibatkan parti-parti politik, pilihan raya, gerakan-gerakan sosial, identiti budaya dan politik serta peranan media sejak perang dunia kedua telah mewujudkan amalan politik baru yang mengutamakan kepopularan politikus berbanding kepentingan rakyat.
Jika matlamat pengamalan politik popular ini adalah untuk mendapatkan kuasa lalu berfungsi dengan berkesan untuk menyelesaikan sesuatu isu rakyat maka kepentingan praktikal politik popular ini harus. Tetapi di Malaysia konseptualisasi politik popular ini dipesongkan.
Pakatan Rakyat (PR) khususnya memiliki pemimpin berkarisma, menjadi tumpuan masyarakat elit, parti politik separa birokrasi, sokongan rakyat yang padu dan ketaatan penyokong kepada pemimpin mereka yang terlalu teguh. Walaupun ini dilihat sebagai sesuatu yang pragmatik dalam konteks politik popular namun terlalu sama-samar daripada perspektif politik rakyat. Selepas setahun diangkat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun Ahli Parlimen, apakah rakyat dikawasan ahli politik PR ini benar-benar gembira dengan perkhidmatan mereka?
Kita harus abaikan pemimpin regim Barisan Nasional dalam konteks perbincangan ini kerana kita tahu bahawa politikus-politikus regim ini tidak pernah bermentalitikan kepentingan rakyat sedangkan pemimpin PR pula sering popularkan diri dengan menggunakan kalimah rakyat.
Ketiadaan pembangunan di kawasan parlimen mahupun DUN yang dimenangi oleh pemimpon PR, jarang turun bertemu rakyat, lebih selesa berbicara tentang isu-isu popular berbanding isu-isu tempatan dan lebih parah lagi adalah mengekalkan kepopularitian mereka menggunakan media adalah sesuatu yang amat berbahaya kerana bersifat ‘progresif’ retorik semata-mata.
Ini adalah sejenis politik yang bukannya bersifat mendidik rakyat sebaliknya mengerakkan mobilasi rakyat untuk memastikan kepopularitian pemimpin sebegini kekal terjamin. Kehadiran beratus-ratus hatta berjuta rakyat sekalipun ke mana-mana demonstrasi bukannya bererti bahawa pemimpin itu seorang pemimpin yang mampu bekerja tetapi itu adalah petanda bahawa pemimpin itu adalah pemimpin populis yang bijak manipulasi rakyat untuk survival politiknya.
Pemimpin seharusnya lebih berpengetahuan mengenai kawasan yang dimenanginya dalam pilihanraya, memiliki ilmu politik dan mampu bertindak bebas dalam usaha untuk membangunkan kawasannya serta menjaga kebajikan pengundinya.
Jika rakyat boleh bersatu membangunkan apa yang dipanggil sebagai politik rakyat yang tulen dan rakyat dihindari daripada politik kejahatan regim pemerintah maka pembangunan visi politik rakyat marhaen dapat direalisasikan dan ketika itu Malaysia akan berada dalam landasan politik yang sebenarnya.
Selagi politikus hanya gemar ‘bersilat’ di Parlimen dan pengundinya tidak diendahkan maka jangan kusar andaikata terdapat pengundi politikus ini miliki niat untuk membaling kasut padanya dalam usaha menjadikan ahli politik tersebut popular. Lagipun bukankah hanya populariti yang diharapkan oleh sang politikus di negara ini?