JPP kecewa dengan insiden yang berlaku


JPP-PKR

Masalah memang berlaku ketika sesi pemilihan dijalankan, bagaimanapun,ia dikatakan berlaku di luar kawasan dewan

(Free Malaysia Today) – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP)  PKR kecewa dengan insiden kekecohan yang berlaku di Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kota Raja ketika proses pemilihan Keadilan sedang dijalankan.

Pengerusinya, Datuk Johari Abdul berkata, masalah memang berlaku ketika sesi pemilihan dijalankan. Bagaimanapun,ia dikatakan berlaku di luar kawasan dewan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang besar pun ada masalah apatah lagi kita yang hanya bergantung kepada anggota dan JPP pun baru berusia tiga tahun,” katanya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR.

Menurutnya, pihaknya telah mengenalpasti beberapa individu yang terlibat dan tindakan tegas bakal dikenakan jika didapati bersalah.

“Proses pemilihan masih berjalan lancar biarpun ada beberapa insiden tidak diingini berlaku ketika sesi pemilihan sedang dijalankan terutamanya di Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kota Raja di mana ada anggota didapati menjerit, menggunakan kata-kata kesat dan tidak kurang juga bertindak sehingga mencederakan anggota yang sedang mengundi.

“Kami sedang menjalankan siasatan lanjut untuk meneliti siapa yang terlibat dalam kekecohan itu sama ada mereka terdiri daripada anggota atau tidak.

Sehingga kini, kami serahkan siasatan untuk dijalankan oleh pihak polis dan jika anggota PKR  terlibat dalam hal ini, mereka akan diserahkan kepada lembaga disiplin dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan akhir PKR bakal berlangsung 28 Jun  dan akan membuka peluang kepada parti tersebut untuk meneruskan agenda yang lebih besar di masa akan datang.

“Sehingga kini, lembaga disiplin PKR  telah mengambil tindakan ke atas ahli-ahli yang menimbulkan kekecohan dan ada juga yang telah dipecat dan digantung keahliannya.

“Bagaimanapun, PKR masih beri peluang kedua kepada mereka untuk bertanding dan peluang ini dibuka seluas-luasnya selepas diberikan amaran keras.

“Di Sabak Bernam telah berlaku sabotaj selepas dewan yang digunakan telah dikotorkan dan kami telah mendapatkan kerjasama pihak majlis perbandaran untuk membersihkan dewan berkenaan dan alhamdulillah proses pemilihan berjalan dengan lancar dalam suasana yang tenang.

“Di Kota Raja pula, proses berjalan dengan baik tetapi ada berlaku sedikit kekecohan pada jam 4.30 petang kerana cubaan untuk merosakkan majlis tersebut.

“Bagaimanapun, proses itu berjalan dalam masa yang telah ditetapkan dalam masa enam jam dan proses undian semula tidak akan dilakukan semula,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...